
Siaran palsu kongsi bantuan kerajaan salah guna video tidak berkaitan
- Diterbitkan pada hari 28/07/2025 jam 11:05
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Berita yang kononnya diterbitkan oleh Malaysiakini dikongsi di Facebook pada 19 Julai 2025.
"BANTUAN KERAJAAN RM50,000 BAGI SIAPA SAHAJA YANG BUAT PERMOHONAN," bunyi teks pelekat pada video yang menunjukkan rakaman Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pelbagai majlis sambil audio alih suara mengulangi dakwaan mengenai bantuan kewangan itu.
"Sila semak kelayakan dan cara mohon," kata audio alih suara itu.

Satu lagi versi dakwaan yang dikongsi pada 11 Julai 2025 memaparkan gambar orang di sebuah pejabat dengan cek cura berlabel "Sumbangan bencana Türkiye".

Siaran lain di Facebook meminta pengguna menghubungi akaun terbabit untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai bantuan itu.
AFP menghubungi salah satu akaun tersebut dan diberikan satu borang yang meminta butiran peribadi termasuk nama penuh dan alamat penghantaran. Pemohon juga diminta menghantar salinan kad pengenalan dan penyata bank.
Siaran palsu yang meminta maklumat peribadi pengguna sering tular di media sosial. AFP sebelum ini telah menafikan siaran palsu yang menyamar sebagai agensi kerajaan mengiklankan geran palsu untuk syarikat perniagaan kecil dan bantuan melalui e-wallet.
Bagaimanapun, kerajaan tidak mengumumkan skim bantuan tunai berjumlah RM50,000.
Seorang jurucakap Kementerian Kewangan memberitahu AFP bahawa dakwaan itu adalah palsu dan meminta orang ramai mendapatkan maklumat di laman rasmi yang menyenaraikan semua bantuan kerajaan seperti yang diumumkan bawah Belanjawan 2025 (pautan arkib).
Video disunting
Gabungan carian kata kunci dan imej terbalik di Google membawa kepada klip berita serupa yang diterbitkan oleh Malaysiakini di laman Instagramnya pada 15 Julai 2025 (pautan arkib).
Laporan asal menyatakan Anwar akan membuat "pengumuman besar" sebagai penghormatan kepada rakyat (pautan arkib). Pada 23 Julai, beliau mengumumkan pelbagai langkah untuk membantu rakyat dalam berdepan isu kos sara hidup, seperti bantuan RM100 dan penurunan harga petrol (pautan arkib).
Seorang wakil Malaysiakini memberitahu AFP pada 22 Julai bahawa logonya telah disalahguna.
"Ini pastinya bukan video kami. Kami tidak pernah menyunting mana-mana video kami untuk mempromosikan bantuan kerajaan," katanya.
Klip yang dikongsi dalam siaran palsu itu telah disunting, termasuk fon yang tidak sepadan dengan jenis digunakan Malaysiakini dan teks pelekat merah jambu yang menutupi teks asal berwarna oren yang berbunyi "Anwar bakal umum penghargaan luar biasa untuk rakyat".

Carian imej terbalik yang berasingan di Google mendapati gambar orang yang memegang cek cura itu sebenarnya pertama kali disiarkan di akaun rasmi X oleh Duta Turki ke Malaysia pada 3 Mac 2023 (pautan arkib).

Duta itu mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Aeon Malaysia, sebuah pertubuhan amal di bawah Kumpulan Syarikat Aeon, kerana menyumbang kepada mangsa gempa bumi dahsyat yang melanda Turki pada Februari 2023.
Gambar sama menunjukkan majlis penyampaian cek sura itu turut disiar di laman web Aeon Credit (pautan arkib).
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami