Klip lama dikongsi dengan dakwaan ia menunjukkan 'warga Israel lari dari serangan Iran'

  • Diterbitkan pada hari 21/07/2025 jam 04:56
  • Dikemas kini pada hari 21/07/2025 jam 05:04
  • Durasi bacaan 2 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Israel dan Iran berbalas serangan selama 12 hari di Jun sebelum Amerika Syarikat mengumumkan gencatan senjata. Tetapi video yang  menunjukkan warga Israel berlari mencari tempat perlindungan disiarkan dengan dakwaan salah yang ia menunjukkan mereka berlari dari serangan Iran. Sebenarnya video tersebut dirakam pada bulan April dan ia menunjukkan kekecohan yang berlaku selepas tangkapan polis disalah anggap sebagai serangan pengganas ketika sambutan Memorial Day di Tel Aviv. 

"Bangsa laknatullah pengecut. Pemandangan pendatang haram Israel berlari ke tempat perlindungan," baca siaran Facebook pada 14 June 2025. 

Video itu menunjukkan orang ramai yang berkumpul di sebuah dataran bergegas untuk bersurai dengan deretan kerusi plastik yang terbalik kelihatan di tengah-tengah.

Teks bertindih pada klip itu berbunyi: "Penjajah berlari mencari perlindungan di Israel."

Image
Tangkapan skrin siaran palsu yang diambil pada 9 Julai 2025, dengan X merah ditambah oleh AFP

Klip itu turut disiarkan di sini dan di sini dengan dakwaan yang sama. 

Video palsu itu tular selepas Israel melancarkan serangan terhadap tapak nuklear dan kemudahan Iran pada 13 June, manakala Iran membalas dengan serangan peluru berpandu yang menyasarkan Tel Aviv (pautan arkib).

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan bahawa Israel dan Iran bersetuju melaksanakan gencatan senjata bermula 24 Jun (pautan arkib).

Menurut Iran, seramai 1,060 terkorban di negara tersebut manakala Israel berkata 28 terbunuh ketika perang antara dua negara tersebut (pautan arkib). 

Namun video yang tular sebenarnya dirakam di April, sebelum perang tercetus.

Carian imej terbalik membawa kepada siaran Instagram oleh saluran berita Israel pada 30 April yang berkata video itu menunjukkan orang ramai di Tel Aviv panik kerana selepas tangkapan polis disalah anggap sebagai serangan pengganas (pautan arkib).

Image
Perbandingan tangkapan skrin siaran palsu (kiri) dan siaran Instagram oleh ILTV Israel News yang disiarkan pada 30 April

"Apa yang bermula sebagai tangkapan polis di Dataran Habima telah disalah anggap sebagai serangan pengganas, menyebabkan orang ramai melarikan diri dalam keadaan panik. 21 orang dirawat di Hospital Ichilov kerana terkejut dan cedera ringan. Tiada tembakan dilepaskan -- kejadian itu adalah jenayah, bukan berkaitan keganasan," tulis siaran itu.

Carian kata kunci di Google membawa kepada laporan berita berkenaan kejadian tersebut yang berlaku ketika sambutan Memorial Day di Tel Aviv (pautan arkib).

Menurut akhbar Times of Israel, huru-hara tercetus selepas seorang lelaki ditahan kerana disyaki cuba menyerang polis, tetapi orang ramai yang berkumpul di dataran itu menganggap kejadian itu sebagai insiden keselamatan dan mula melarikan diri (pautan arkib).

AFP telah menafikan lebih banyak maklumat salah berkaitan konflik Iran-Israel di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami