
Siaran palsu dakwa rumah api La Jument di Perancis bayar gaji berjuta
- Diterbitkan pada hari 28/07/2025 jam 11:28
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Caleigh KEATING, AFP Amerika Syarikat
- Terjemahan dan adaptasi Raevathi SUPRAMANIAM , AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Gaji $1.2 juta setahun hanya untuk menjaga rumah api di Perancis," bunyi siaran Facebook pada 9 Julai, 2025.
Siaran yang ditonton lebih 2.5 juta kali itu menunjukkan sebuah rumah api dipukul ombak besar di tengah laut yang sedang bergelora.

Siaran serupa juga dikongsi oleh akaun Facebook lain dan juga di Instagram.
Rumah api tersebut dibina pada 1904 dan menjadi terkenal selepas jurugambar Perancis Jean Guichard mengambil foto dramatik Théodore Malgorn, penjaga La Jument, berdiri di depan pintu rumah api tersebut ketika ia dibadai ombak (pautan arkib).
Foto itu memenangi hadiah kedua dalam kategori "Nature" pada peraduan Foto Akhbar Dunia 1991.
Tetapi, dakwaan kerajaan Perancis menawarkan gaji berjuta untuk menjaga rumah api tersebut adalah palsu.
Menurut laman web Direktorat Antara Wilayah Laut Atlantik Utara Selat Barat (DIRM NAMO) rumah api La Jument telah diautomasikan sejak tahun 1991 (pautan arkib).
"Tiada penjaga di rumah api La Jument atau di mana-mana rumah api Perancis," kata DIRM NAMO kepada AFP dalam satu e-mel pada 21 Julai. "Rumah api di Perancis beroperasi secara automatik bertahun-tahun. Ejen dari bahagian 'rumah api dan suar' kerap melawat rumah api yang ada untuk tujuan penyelenggaraan dan pemodenan."
Carian di laman web DIRM NAMO juga mendapati tiada peluang pekerjaan diiklankan untuk rumah api tersebut (pautan arkib di sini dan di sini)
Pejabat Pelancongan Pulau Ouessant, titik paling barat di metropolitan Perancis di mana rumah api La Jument terletak, juga berkata dakwaan itu "palsu".
"Tiada sesiapa yang bekerja di rumah api La Jument sejak 1991 dan gaji pada masa itu tidak mencecah sejuta," kata pejabat itu kepada AFP dalam e-mel 18 Julai.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami