Gambar jet pejuang terhempas di Bangladesh hasil janaan AI

Selepas sebuah jet pejuang tentera terhempas ke sebuah sekolah di Dhaka, Bangladesh mengorbankan 31 orang, satu imej dikongsi dalam siaran palsu yang mendakwa ia menunjukkan tragedi paling dahsyat di negara itu dalam beberapa dekad. Gambar itu tidak sepadan dengan gambar dirakam AFP tentang kemalangan itu dan mempunyai tanda-tanda ralat pada visual menandakan ia dijana kecerdasan buatan (AI). 

"19 MAUT, PULUHAN CEDERA SELEPAS PESAWAT TENTERA BANGLADESH TERHEMPAS DI SEKOLAH," bunyi teks pada imej yang disiarkan di Facebook pada 22 Julai 2025. 

Gambar itu menunjukkan sebuah jet peribadi terbakar di tengah-tengah padang, dengan pegawai kecemasan dan orang ramai kelihatan melihat kejadian tersebut.

Ia dikongsi selepas jet pejuang tentera Bangladesh terhempas ke bangunan sekolah Milestone School and College di Dhaka (pautan arkib).

Sekurang-kurangnya 31 orang terbunuh, kebanyakannya kanak-kanak; lebih 170 orang cedera dan 69 daripadanya masih menjalani rawatan di pelbagai hospital.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 29 Julai 2025 dengan tanda X merah ditambah oleh AFP

Gambar sama turut dikongsi di Instagram dan X, selain muncul dalam bahasa lain seperti bahasa Thai dan Burma.

Bagaimanapun, imej terbabit tidak menunjukkan nahas pesawat di Dhaka itu.

Janaan AI

Visual yang beredar itu tidak sepadan dengan gambar dan video nahas terbabit yang dirakam oleh AFP di tempat kejadian pada 21 Julai (pautan arkib).

Imej dan video AFP menunjukkan serpihan jet pejuang itu berada di dalam bangunan sekolah serta bahagian fiuslaj dan enjin yang hangus berhampiran struktur terbabit. 

Seorang jurugambar AFP yang berada di tempat kejadian turut mengesahkan imej yang dikongsi secara palsu itu tidak menunjukkan kawasan di mana nahas itu berlaku (pautan arkib).

Image
Gambar dari kawasan nahas yang diambil pada 21 dan 22 Julai oleh jurugambar AFP

Imej jet pejuang yang dilihat terhempas di halaman sebuah bangunan itu mengandungi elemen yang tidak konsisten -- pesawat itu kelihatan sebahagian besarnya tidak musnah dan terdapat serpihan-serpihan pesawat lain di sebelahnya.

Carian imej terbalik di Google membawa kepada siaran lain yang menggunakan gambar itu, tetapi ia ditandakan sebagai "Buatan Google AI" pada fitur "Tentang gambar ini". 

Keupayaan untuk mengesan imej yang dijana AI adalah berdasarkan teknologi SynthID Google, yang telah dilancarkan oleh makmal AI DeepMind pada 2023 (pautan arkib di sini dan di sini).

Image
Tangkapan skrin Google Images, dengan label AI ditandakan AFP

AFP sebelum ini telah menafikan imej lain yang dijana kecerdasan buatan di sini dan di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami