Ini gambar lama latihan tentera udara, tak berkaitan dengan konflik Thailand-Kemboja

Pertikaian wilayah yang telah lama wujud antara Thailand dan Kemboja telah mencetuskan konflik dengan jet, kereta kebal dan tentera darat bertempur di wilayah sempadan luar bandar pada Julai 2025. Tetapi satu imej pesawat yang kononnya dari pertempuran itu sebenarnya telah dikongsi oleh Tentera Udara Diraja Thailand beberapa minggu sebelumnya dalam satu siaran mengenai acara latihan tentera udara bersama Indonesia.

"Thailand Serang Wilayah Kemboja Guna Jet Pejuang F-16, Sempadan Tegang," bunyi kapsyen pada siaran yang dikongsi pada 24 Julai 2025 di X yang memaparkan gambar itu.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu X diambil pada 30 Julai 2025 dengan tanda X merah ditambah oleh AFP

Siaran serupa turut tersebar di Facebook, Instagram dan Threads ketika pertempuran paling teruk antara dua negara tersebut dalam lebih sedekad meletus (pautan arkib).

Sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh dan lebih 200,000 kehilangan tempat tinggal sejak konflik itu tercetus antara Thailand dan Kemboja di kawasan hutan sempadan negara jiran tersebut yang merupakan tapak beberapa kuil purba yang menjadi pertikaian.

Kedua-dua pihak telah membincangkan gencatan senjata pada 28 Julai dalam satu pertemuan khas bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim, di mana Malaysia kini memegang jawatan Pengerusi ASEAN bagi 2025 yang dianggotai kedua-dua negara itu.

Walau bagaimanapun, carian imej terbalik di Google mendapati gambar itu pernah disiarkan di akaun Facebook Tentera Udara Diraja Thailand pada 16 Jun 2025, beberapa minggu sebelum pertempuran bermula (pautan arkib).

"Gambar-gambar kerjasama antara tentera udara yang kuat antara Thailand dan Indonesia melalui pelbagai jenis latihan ketenteraan," bunyi sebahagian daripada kapsyen siaran itu, sambil menambah latihan itu berlangsung dari 9 hingga 19 Jun.

"Tentera udara kedua-dua negara terbang di ruang udara melalui selatan Esan," tulis kapsyen itu lagi, merujuk kepada wilayah barat laut Thailand.

Image
Tangkapan skrin siaran Tentera Udara Diraja Thai diambil pada 28 Julai 2025, dengan gambar tulen yang ditanda AFP

Tentera Udara Diraja Thai juga menerbitkan kenyataan media di laman web rasminya mengenai majlis penutupan latihan udara bersama dengan Indonesia pada 20 Jun 2025 (pautan arkib).

Visual yang sepadan -- termasuk imej pesawat dan logo -- juga boleh dilihat dalam artikel yang diterbitkan di blog khas pada 19 Jun mengenai latihan udara Thai-Indonesia (pautan arkib).

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami