Imej gunung berapi Jepun muntah lava dan abu hasil janaan AI

Selepas gunung berapi Shinmoedake di selatan Jepun meletus pada 22 Julai , imej yang kononnya menunjukkan gunung itu memuntah keluar lava dan abu tular di media sosial. Tetapi imej itu tidak sepadan dengan siaran langsung media tempatan, dan juga mempunyai elemen visual tidak konsisten yang menunjukkan ia hasil janaan kecerdasan buatan (AI). 

"GUNUNG BERAPI SHINMOEDAKE MELETUP, MIYAZAKI, SELATAN JEPUN", bunyi siaran TikTok pada 5 Julai yang telah ditonton lebih 184,000 kali.

Tambah siaran itu: "Letusan kuat di gunung berapi Shinmoedake telah melancarkan kepulan abu besar-besaran 3,000 meter ke langit, meliputi bandar-bandar di seluruh Kagoshima dan Miyazaki dalam abu gunung berapi yang tebal."

Imej yang disertakan kononnya menunjukkan gunung berapi itu memuntah keluar lava dan asap tebal. Di latar depan terdapat beberapa kenderaan merah dan putih manakala pemandu serta penumpang kelihatan melangkah keluar dari kenderaan untuk menyaksikan letusan itu.

Imej itu tular selepas gunung berapi Shinmoedake yang terletak di banjaran gunung Kirishima di sempadan Wilayah Kagoshima dan Miyazaki di selatan Jepun melutus pada 22 Julai (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 25 Julai dengan tanda X merah ditambah oleh AFP

Siaran serupa juga disiarkan di sini dan juga di Facebook

Walaupun gunung berapi Shinmoedake masih mengeluarkan asap dengan abu mencecah lebih 5,000 meter sejak ia meletus pada 22 Julai, imej yang tular tidak menunujukkan gunung berapi tersebut.

Imej itu tidak sepadan dengan siaran langsung liputan letusan yang dibawa oleh media tempatan UMK TV Miyazaki atau MBC di YouTube pada 22 Julai (pautan arkib di sini dan di sini)

Pihak berkuasa Jepun sebelum ini mengeluarkan amaran gunung berapi bagi banjaran Kirishimayama dan menasihati orang ramai agar menjauhi kawasan tersebut kerana letusan berpotensi berlaku pada bila-bila masa (pautan arkib). 

Elemen-elemen tidak konsisten pada imej tersebut menunjukkan ia hasil janaan AI. 

Visual tidak konsisten

Analisis teliti ke atas imej palsu itu menunjukkan pintu pada sebuah kereta putih di latar depan berada pada posisi yang salah manakala orang ramai yang berdiri di atas jalan kelihatan kehilangan anggota badan.

Image
Tangkapan skrin imej palsu dengan elemen tidak konsisten yang diserlahkan oleh AFP

Carian kata kunci membawa kepada siaran YouTube pada 4 Julai bertajuk "Japanese volcano erupts, spewing lava" yang juga menggunakan imej palsu itu (pautan arkib).

Visual tidak konsisten lain boleh dilihat dalam video yang disarkan oleh akaun yang sering memuat naik kandungan dijana AI itu.

Sebagai contoh, sebuah kereta putih dilihat pada tanda tiga saat dan merempuh kenderaan di hadapan sebelum hilang serta-merta.

Image
Tangkapan skrin menunjukkan kereta putih tersebut hilang

Membalas komen pada video itu, pemilik akaun itu berkata video itu adalah hasil janaan AI. 

Walaupun teknologi AI generatif bertambah baik dengan pantas, elemen yang menunjukkan vidual tidak konsisten merupakan cara terbaik untuk mengenal pasti sama ada kandungan itu benar atau rekaan.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami