Ini klip letusan gunung berapi Fagradalsfjall di Iceland, bukan Rusia

Gunung berapi Klyuchevskoy di Semenanjung Kamchatka meletus selapas gempa bumi berukuran 8.8 magnitud melanda kawasan tersebut. Tetapi video yang kononnya menunjukkan lava menggelegak sebelum melimpah keluar sebenarnya dirakam pada 2021. Juruterbang dron yang merakam klip itu memberitahu AFP ia sebenarnya menunjukkan gunung berapi Fagradalsfjall berhampiran ibu kota Iceland, Reykjavik.

"Gunung berapi Klyuchevskoy di Rusia mula meletus," bunyi siaran TikTok pada 21 Julai 2025. 

Klip disertakan dalam siaran itu menunjukkan lava menggelegak sebelum melimpah keluar dari kawah telah ditonton lebih 33,000 kali. 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu di TikTok diambil pada 31 Julai 2025 dengan tanda X merah ditambah oleh AFP

Video serupa dikongsi bersama dengan dakwaan sama di TikTok dan Facebook selepas Perkhidmatan Geofizik Bersatu Akademi Sains Rusia berkata gunung berapi Klyuchevskoy -- antara yang paling aktif di Eropah dan Asia -- meletus pada 30 Julai, dengan lava kelihatan mengalir di lereng gunung berapi tersebut (pautan arkib).

Pada hari yang sama, gempa bumi berukuran 8.8 magnitud menggegar kawasan Timur Jauh Rusia dan mencetuskan amaran tsunami merentasi sebahagian Laut Pasifik (pautan arkib). 

Namun, video yang tular sebenarnya menunjukkan letusan gunung berapi yang berlaku empat tahun lepas. 

Carian imej terbalik di Google membawa kepada siaran Facebook yang disiarkan pada November 2024 dengan kapsyen, "Kolam lava di kawah gunung berapi di Iceland" (pautan arkib). 

Siaran itu mengongsi semula klip dari June 2021 yang berkata video tersebut diambil oleh Bjorn Steinbekk. 

Image
Perbandingan tangkapan skrin siaran palsu (kiri) dan siaran Facebook lama (kanan)

Carian kata kunci untuk "Bjorn Steinbekk" di Google membawa kepada akaun Instagram jurugambar Iceland dengan nama yang sama dan merupakan pakar dalam mengambil video dan gambar gunung berapi menggunakan dron (pautan arkib). 

Klip yang sama turut dikongsi pada akaun Instagramnya pada 22 Mei 2021 (pautan arkib). 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu (kiri) dan klip yang disiarkan oleh Bjorn Steinbekk diInstagram (kanan)

Steinbekk memberitahu AFP beliau merakam klip yang disiarkan bersama siaran palsu di gunung berapi Fagradalsfjall berdekatan ibu kota Iceland di Reykjavik(pautan arkib). 

"Ini memang video saya. Ini bukan kali pertama (video saya digunakan begini)," katanya melalui e-mel pada 31 Julai. 

Gunung berapi Fagradalsfjall meletus pada Mac 2021 selepas tidak aktif selama 800 tahun menurut Balai Cerap Bumi NASA (pautan arkib). 

AFP melaporkan bahawa letusan gunung berapi itu, yang menarik ratusan ribu pelancong dan merupakan letusan paling lama dalam 50 tahun, secara rasmi diisytiharkan berakhir oleh pihak berkuasa pada 20 Disember 2021 (pautan arkib).

AFP juga menafikan siaran palsu lain yang tular di media sosial sejak gempa bumi berukuran 8.8 magnitud melanda Timur Jauh Rusia.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami