
Ini video lama gempa bumi di Myanmar, bukan Rusia
- Diterbitkan pada hari 04/08/2025 jam 09:32
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Anne CHAN, Ei SAN, AFP Hong Kong, AFP Indonesia, AFP Thailand
- Terjemahan dan adaptasi AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Uii ngeri..Katanya menurut sumber ..ini adalah Gempa bumi terkuat dalam abad ke-21 yang kini melanda pantai-pantai Rusia," bunyi sebahagian kapsyen pada siaran Facebook dikongsi pada 30 Julai 2025.
Klip itu menunjukkan rakaman CCTV bahagian dalam sebuah kedai ketika gegaran melanda sehingga menyebabkan rak-rak jatuh ke lantai.

Video itu muncul beberapa jam selepas gempa bumi berukuran 8.8 magnitud melanda di pantai timur jauh Semenanjung Kamchatka di Rusia, mencetuskan pemindahan dan amaran tsunami merentasi bahagian pantai Pasifik (pautan arkib).
Kebimbangan impak dari bencana itu semakin reda selepas beberapa negara menarik balik atau menurunkan tahap amaran dan memberitahu penduduk berdekatan pantai mereka boleh kembali.
Siaran serupa turut tersebar di Facebook dan Instagram.
Tetapi klip itu sebenarnya menunjukkan kesan gempa bumi yang berbeza.
Gegaran di Myanmar
Analisis lebih dekat pada klip yang dikongsi secara salah itu menunjukkan kod masa di penjuru kanan sebelah atasnya yang menunjukkan, "2025-03-28", waktu gempa bumi 7.7 magnitud melanda barat laut bandar Sagaing di Myanmar (pautan arkib).
Lebih 3,700 orang maut akibat gempa bumi itu yang memusnahkan sebahagian besar rumah dan kedai (pautan arkib).

Carian imej terbalik di Google mendapati video itu pernah dikongsi di TikTok pada 30 Mac dalam versi lebih panjang oleh akaun "Top One Mobile" (pautan arkib).
"Tidak mudah untuk melarikan diri dalam masa tiga saat," tulis kapsyen klip itu dalam bahasa Burma.

Akaun itu turut berkongsi video serupa dari sudut berbeza (pautan arkib).
Carian kata kunci seterusnya membawa kepada rakaman sama pernah disiarkan di saluran YouTube "Arkib Gempa Bumi Sagaing 2025", yang menyatakan ia menunjukkan kejadian yang berlaku di sebuah kedai di Tada-U, Myanmar (pautan arkib).
Imej-imej Google Maps bagi bahagian hadapan kedai Top One itu sepadan dengan video lain yang disiarkan oleh akaun TikTok (pautan arkib di sini dan di sini).
Imej Google Maps bagi lokasi di Mandalay itu kini menunjukkan tanah yang diratakan oleh gempa bumi (pautan arkib).
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami