
Dakwaan tidak bernas Singapura bina 'penjara terapung' tular di media sosial
- Diterbitkan pada hari 13/08/2025 jam 08:12
- Dikemas kini pada hari 13/08/2025 jam 08:54
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Dene-Hern CHEN, AFP Australia
- Terjemahan dan adaptasi Raevathi SUPRAMANIAM , AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Penjara Terapung Singapura Inovasi Maritim dalam Sistem Pemulihan Banduan," bunyi siaran Facebook pada 3 Ogos 2025.
Siaran itu disertakan dengan imej tongkang merah jambu dan kelabu manakala kapsyen pada teks pelekat berbunyi "penjara terapung pertama di dunia yang baru dilancarkan di Singapura" dengan bendera negara itu tertera di sudut kiri atas gambar tersebut.
Dakwaan sama juga disiarkan dengan gambar yang berbeza. Ia memaparkan imej tongkang berbentuk segi empat dan berwarna merah dan kelabu ditarik sebuah bot.

Siaran serupa juga dikongsi di India, Amerika Syarikat, Sierra Leone, Australia, Vanuatu, Ukraine danScotland.
Perkhidmatan Penjara Singapura dalam kenyataan pada 17 Julai berkata dakwaan itu adalah "maklumat palsu" (pautan arkib).
"Dakwaan ini tidak benar. Kami tidak mengadakan sebarang perbincangan, mempunyai rancangan sedemikian dan tidak ada keperluan sebegini," katanya.
Ia juga menggesa orang ramai supaya tidak "percaya dengan cerita liar".
Imej palsu
Carian imej terbalik membawa kepada imej tongkang serupa bernama "Bibby Stockholm" yang digunakan sebagai penempatan untuk pelarian lelaki pada 2023 dan 2024 di luar pantai barat daya UK ketika kerajaan negara itu cuba mengatasi permintaan suak yang tertunggak (pautan arkib).
Pada November 2023, pencari suaka terakhir meninggalkan tongkang itu dan kerajaan UK mengambil keputusan tidak memperbaharui kontrak penempatan kontroversi itu.
Imej yang tersebar serupa dengan gambar yang diambil oleh Ben Birchall, seorang jurugambar dengan agensi berita Britain Press Association, pada 18 Julai 2023 (pautan arkib).

Carian imej terbalik selanjutnya mendapati imej kedua mengandungi tera air "Dijana dengan Google AI".
Keupayaan untuk mengesan imej yang dijana AI adalah berdasarkan teknologi SynthID Google, yang telah dilancarkan oleh makmal AI DeepMind pada tahun 2023 (pautan arkib di sini dan di sini).

Ia menunjukkan kemungkinan yang "Sangat Tinggi" bahawa ia dijana menggunakan Google AI kerana ia mengesan tera air SynthID dalam kebanyakan imej.
AFP sebelum ini pernah menafikan maklumat palsu berkaitan Singapura.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami