Ini video konflik di Myanmar, bukan pertempuran sempadan Thailand-Kemboja

Ketika pertikaian sempadan Thailand-Kemboja tercetus pada bulan Julai, video sekumpulan lelaki dalam trak berbalas tembakan dikongsi dengan dakwaan palsu ia menunjukkan pertembungan antara dua negara tersebut. Tetapi video itu sebenarnya disiarkan oleh kumpulan anti-rampasan kuasa di Myanmar sebelum konflik Thailand-Kemboja tercetus dan disiarkan dalam laporan serangan kumpulan tersebut ke atas tentera junta. 
Amaran: video grafik 

"Real combat Kemboja vs Thailand", bunyi siaran Facebook pada 26 Julai 2025. 

Video yang disertakan menunjukkan sekumpulan lelaki menaiki trak bersenjataan senapang sebelum menembak beberapa orang yang kelihatan di jalan raya. 

Image

Video itu tular selepas pertikaian sempadan lama antara dua negara tersebut melibatkan kawasan bersejarah dan kuil purba yang menjadi rebutan sejak lebih 100 tahun tercetus pada 24 Julai. 

Setelah bertempur selama lima hari dan seramai 43 orang terkorban di kedua pihak, Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata bermula 29 Julai (pautan arkib). 

Video serupa disiarkan di sini dan di sini. Ia juga dikongsi dalam bahasa Indonesia

Namun video yang tular tiada kaitan dengan konflik antara Thailand dan Kemboja. 

Dua orang atas trak itu boleh dilihat memakai topi dengan lambang yang memaparkan bendera merah dengan bintang putih di sudut kiri atas, sepadan dengan bendera Angkatan Pertahanan Rakyat (PDF), kumpulan anti-rampasan kuasa Myanmar (pautan arkib). 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu dengan lambang PDF yang ditandakan oleh AFP

Wartawan AFP yang fasih bahasa Burma juga mengesahkan bahawa lelaki-lelaki dalam video tersebut berbual dalam bahasa Burma manakala papan tanda kedai yang kelihatan dalam video tersebut juga ditulis dalam bahasa Burma. 

Carian kata kunci berdasarkan logo yang kelihatan pada video tersebut membawa kepada siaran Facebook yang disiarkan oleh kumpulan Ye.U, Angkatan Pertahanan Rakyat DU WON pada 15 Julai yang mengongsi video sama (pautan arkib). 

Kumpulan itu juga menyiarkan video serupa pada 14 Julai dengan kapsyen dalam bahasa Burma yang berkata kumpulan itu menyerang lima askar dari kem Zigon ketika pulang dari membeli arak (pautan arkib).

Tambah siaran itu, empat dari lima askar terbunuh ketika pertempuran tersebut. Lelaki sama berpakaian serupa boleh dilihat dalam dua-dua video yang dikongsi. 

Image
Perbandingan tangkapan skrin dua video yang disiarkan oleh Angkatan Pertahanan Rakyat DU WON di Facebook, dengan persamaan yang ditandakan oleh AFP

AFP berjaya mengesahkan bahawa video itu dirakam di bandar Zigon menggunakan nama kedai emas yang dilihat dalam video disiarkan pada 14 Julai. Ia sepadan dengan foto bahagian luar kedai yang disiarkan di Facebook pada Januari 2021 (pautan arkib di sini dan di sini).

Image
Perbandingan tangkapan skrin video Angkatan Pertahanan Rakyat Du Won pada 14 Julai (kiri) dan gambar kedai emas di Zigon (kanan)

Tangkapan skrin video tersebut juga digunakan dalam laporan berita berkaitan serang tersebut yang diterbitkan oleh Democratic Voice of Burma (pautan arkib). 

AFP juga menafikan siaran palsu berkaitan pertembungan sempadan Thailand dan Kemboja di sini, di sini dan di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami