
Gambar orang hanyutkan botol berisi makanan ke laut Gaza hasil janaan AI
- Diterbitkan pada hari 14/08/2025 jam 09:44
- Durasi bacaan 6 minit
- Oleh: Dounia MAHIEDDINE, AFP Perancis
- Terjemahan dan adaptasi AFP Malaysia , AFP Bangladesh
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Rakyat Mesir hanyutkan makanan melalui laut sebagai usaha bantu Gaza," bunyi siaran Facebook dikongsi pada 25 Julai 2025.
"Sebagai usaha membantu rakyat Gaza, rakyat Mesir mengisi botol bersaiz satu dan dua liter dengan makanan kering seperti beras, kekacang, dan bijirin sebelum dilepaskan ke Laut Mediterranean dengan harapan ia sampai ke pantai Gaza," tulis kapsyen itu lagi.
Imej yang disertakan dalam siaran itu menunjukkan sekumpulan orang melepaskan botol plastik berisi beras atau tepung ke laut.

Imej itu juga disebarkan sebagai tulen di Facebook dan dalam bahasa lain seperti Itali, Perancis dan Arab. Beberapa pengguna dilihat percaya bahawa gambar itu adalah tulen.
"Alhamdulillah.. semoga sampai ke tangan saudara ku," tulis seorang pengguna di ruangan komen. "Semuga dipermudahkan," kata pengguna lain.
Gambar itu tersebar dalam talian ketika rakyat Palestin berebut bekalan asas selepas Israel mengenakan sekatan bantuan makanan pada 2 Mac lalu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa Gaza berhadapan krisis kebuluran manakala kementerian kesihatan wilayah yang dikendalikan Hamas itu berkata angka kematian rakyat Palestin dalam perang hampir 22 bulan telah melebihi 61,599 (pautan arkib di sini dan di sini)
Perang yang tercetus akibat serangan Hamas pada Oktober 2023 telah mengorbankan 1,219 orang, kebanyakannya orang awam, menurut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi.
Israel mula membenarkan sedikit bantuan memasuki Gaza pada lewat bulan Mei selepas mengenakan sekatan penuh pada bulan Mac apabila gencatan senjata gagal. Ia juga mengumumkan "jeda taktikal" dalam pertempuran di beberapa bahagian Gaza bagi membuka laluan darat untuk menghantar bantuan kemanusiaan manakala bantuan dari udara juga digugurkan di wilayah tersebut.
Walaupun terdapat laporan media tentang satu inisiatif simbolik digerakkan oleh "warga Mesir yang ketakutan dengan imej-imej kebuluran", gambar yang beredar dalam talian itu mengandungi elemen yang tidak konsisten yang menunjukkan ia dijana AI (pautan arkib di sini dan di sini).
Visual tidak konsisten
Analisis yang dijalankan menggunakan alat pengesan imej Hive pada gambar yang tular mendapati bahawa terdapat 99.9 peratus kebarangkalian bahawa visual itu dihasilkan menggunakan AI.

Imej itu juga memaparkan satu tangan dengan ibu jari yang herot, botol berisi penuh tetapi terapung di atas air yang melanggar undang-undang fizik dan semua orang di dalam gambar itu secara luar biasa menghadap ke arah yang sama -- ciri-ciri imej yang dijana AI.
Walaupun tiada kaedah mudah untuk mengesan media yang dijana AI, ia boleh dikenal pasti dengan menggunakan tera air dan visual yang tidak konsisten.
AFP sebelum ini menafikan maklumat salah mengenai konflik Israel-Gaza yang berkongsi imej janaan AI di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami