
Siaran palsu dakwa Toyota perkenal enjin berkuasa air
- Diterbitkan pada hari 18/08/2025 jam 09:03
- Durasi bacaan 4 minit
- Oleh: Bozhidar ANGUELOFF, AFP Bulgaria, AFP Nigeria
- Terjemahan dan adaptasi Oluseyi AWOJULUGBE , AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Toyota Lakar Sejarah Baharu: Enjin Kenderaan Hidrogen Canggih yang Hanya Menghasilkan Wap Air!" tulis kapsyen siaran Facebook dikongsi pada 11 Jun 2025.
"Toyota sekali lagi mencipta kejutan dalam dunia automotif apabila mengumumkan pembangunan teknologi enjin terbaru yang menggunakan hidrogen sebagai bahan bakar, menggantikan kebergantungan kepada bahan api fosil dan bateri lithium konvensional," dakwa siaran itu lagi.
Siaran itu mengandungi satu kolaj dengan dua gambar, kedua-duanya menunjukkan dua orang lelaki berpakaian sut kelabu berdiri di atas pentas untuk mempersembahkan enjin-enjin kereta dengan tulisan bahasa Inggeris "ENJIN AIR" dan logo Toyota tertera pada skrin dibelakang mereka.

Gambar itu juga dikongsi bersama dakwaan serupa di Facebook di sini dan di sini.
Dalam perlumbaan untuk kenderaan emisi sifar -- terutamanya melibatkan kereta elektrik dan hidrogen -- harapan bahawa air suatu hari nanti boleh menggantikan bahan api adalah idea yang popular yang telah muncul semula dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Tetapi hipotesis itu tidak pernah disokong oleh bukti saintifik yang kukuh, seperti yang dijelaskan oleh AFP Perancis sebelum ini.
Dakwaan bahawa Toyota sedang membangunkan enjin berkuasa air itu adalah palsu.
Kenderaan hidrogen
Toyota tidak pernah membuat sebarang pengumuman kepada orang awam mengenai "pembangunan teknologi enjin terbaru", seperti yang didakwa oleh siaran itu.
"Kami tidak membangunkan apa-apa seperti apa yang digambarkan sebagai 'enjin air'," Jean-Yves Jault, wakil Toyota Motor Corporation, memberitahu AFP pada 23 Julai. Jault berkata dakwaan yang diedarkan dalam talian itu adalah "maklumat palsu" dan merujuk kepada artikel oleh Forbes yang menyangkal maklumat itu (pautan arkib).
Toyota menghasilkan kenderaan yang menggunakan hidrogen sebagai bahan api. Kereta tersebut, seperti model Mirai, dijana di stesen khas dan dilengkapi dengan bateri litium-ion untuk menyimpan dan menguruskan tenaga (pautan arkib).
Robert Rapier, seorang jurutera kimia dan pengarang artikel Forbes itu, menjelaskan bahawa "air sebagai sumber kuasa untuk kenderaan adalah mengarut".
"Walaupun air boleh menjadi sumber tenaga, ia bukan bahan api. Air sebenarnya adalah hasil pembakaran hidrogen, iaitu bahan api. Air terhasil apabila hidrogen dibakar. Air boleh berfungsi sebagai sumber tenaga dalam beberapa keadaan," tambahnya.
Proses elektrolisis
Elektrolisis adalah proses di mana arus elektrik dialirkan melalui suatu bahan untuk mencetuskan tindak balas kimia, mengasingkan molekul air (H₂O) kepada hidrogen (H₂) dan oksigen (O₂). Proses ini memerlukan sejumlah besar tenaga elektrik dan hanya berkesan apabila terdapat sumber tenaga yang stabil (pautan arkib).
Elektrolisis tidak menghasilkan tenaga; ia menggunakannya untuk menghasilkan hidrogen, yang kemudiannya digunakan untuk menggerakkan kenderaan sel bahan api. Oleh itu, ia mesti mempunyai sumber elektrik, seperti bateri, untuk elektrolisis berfungsi di dalam sebuah enjin kereta.
"Tetapi senario sedemikian akan menjadi tidak efisien kerana setiap peringkat penukaran tenaga itu melibatkan kehilangan kecekapan. Itu adalah asas kepada termodinamik. Berbanding menggunakan bateri untuk menghasilkan hidrogen melalui elektrolisis, yang kemudiannya perlu ditukar kepada tenaga untuk menggerakkan kereta, ia akan menjadi jauh lebih cekap (dan praktikal) hanya untuk pada peringkat awal menggunakan elektrik secara langsung tanpa langkah-langkah penukaran," tulis Rapier dalam artikelnya.

Pakar juga mengesahkan proses ini kepada AFP. Profesor Plamen Punov dari Universiti Teknikal Sofia, yang menyelia projek pelajar mengenai sel bahan api hidrogen, menyatakan bahawa hidrogen yang digunakan sebagai bahan api tidak dihasilkan terus di dalam kenderaan (pautan arkib).
"Semua kereta ini menghasilkan tenaga elektrik dalam sel bahan api yang menggunakan hidrogen tulen, dicaj terlebih dahulu dalam botol. Saya tidak mengetahui kenderaan sebegitu wujud dan secara teorinya ia akan menjadi sangat tidak efisien dan tidak praktikal," katanya kepada AFP pada 7 Julai 2025.
Air sebagai penyejuk, bukan bahan api
Kekeliruan itu mungkin berpunca daripada satu paten yang difailkan oleh Toyota pada 2023 untuk enjin hidrogen yang dibina dengan sistem penyejukan air. Menerusi reka bentuk ini, air digunakan sebagai penyejuk dan bukannya udara yang digunakan secara tradisional, bukan sebagai bahan api (pautan arkib).
Toyota juga menggunakan elektrolisis untuk menghasilkan hidrogen pada beberapa kemudahannya, tetapi proses itu berlaku di luar kenderaan, bukan di dalam (pautan arkib).
Kebanyakan penganalisis bersetuju bahawa masa depan sektor pengangkutan emisi sifar akan bergantung pada gabungan teknologi: Bateri akan kekal sebagai pilihan untuk kereta berpenumpang, manakala hidrogen boleh memainkan peranan strategik dalam sektor-sektor tertentu, seperti trak jarak jauh, kenderaan berat dan kegunaan industri tertentu (pautan arkib).
AFP sebelum ini menafikan dakwaan serupa dalam bahasa Perancis dan Bulgaria.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami