
Akaun palsu JPJ promosi 'lesen memandu tanpa ujian'
- Diterbitkan pada hari 21/08/2025 jam 09:24
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Jom Buat Lesen Memandu Tanpa Tes (JPJ), Bayar Dan Terus Dapat Lesen," bunyi teks pada gambar yang menunjukkan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dikongsi pada 18 Ogos 2025 di TikTok.
Menerusi ruangan komen, pengguna akaun itu mengajak orang yang berminat untuk menghubungi nombor telefon tertera di profil bio akaun itu.
AFP menghubungi nombor tersebut dan diberikan borang pesanan yang meminta butiran peribadi, termasuk nama penuh dan alamat penghantaran. Pemohon juga diminta menyediakan salinan kad pengenalan dan gambar pasport.

AFP berulang kali menafikan siaran pancingan data serupa yang menyamar sebagai JPJ.
Banyak siaran Facebook dan TikTok yang mempromosikan skim-skim "lesen memandu percuma" dan "lesen memandu tanpa ujian" lain beredar dalam talian pada Julai dan Ogos, ketika berlangsungnya program MyLesen (B2) fasa kedua yang membantu golongan B40 mendapatkan lesen motosikal (pautan arkib).
Bagaimanapun, program itu hanya terbuka kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam atau belia berumur 16 hingga 35 tahun daripada golongan berpendapatan rendah, kata jurucakap JPJ kepada AFP pada 12 Ogos.
Carian kata kunci di Google membawa kepada satu siaran Facebook pada 17 Jun dimuat naik akaun rasmi JPJ yang berbunyi: "JANGAN TERPEDAYA DENGAN IKLAN LESEN MEMANDU PERCUMA" (pautan arkib).
"JPJ mendapati terdapat beberapa akaun media sosial yang mengiklankan permohonan lesen memandu secara percuma dan tidak mengikut syarat-syarat ditetapkan serta tidak sah di sisi undang-undang," kata kenyataan itu.

Jurucakap jabatan itu memberitahu AFP: "JPJ tidak mempunyai akaun lain selain akaun rasmi TikTok JPJ iaitu @jpjmalaysiaoffical dan TikTok rasmi Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia (@kpjpj_official)."
Tambahnya, jabatan tidak menawarkan sebarang lesen memandu tanpa ujian.
"Semua permohonan mesti mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan antaranya, kelas kurikulum pendidikan pemandu, ujian undang-undang jalan raya dan latihan praktikal di litar dan jalan raya," katanya.
Sementara itu, carian imej terbalik di Google mendapati imej pegawai JPJ dalam siaran palsu itu pada asalnya dikongsi di akaun rasmi Facebook JPJ dalam siaran pada 10 Ogos mengenai penahanan dan penyitaan kenderaan mewah (pautan arkib).

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami