Siaran palsu dakwa bantuan SARA boleh digunakan untuk beli arak

  • Diterbitkan pada hari 23/09/2025 jam 10:11
  • Dikemas kini pada hari 23/09/2025 jam 10:18
  • Durasi bacaan 2 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Kementerian Kewangan menyangkal siaran media sosial yang mendakwa bantuan kewangan yang disalurkan melalu inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk membeli barang keperluan harian boleh digunakan untuk membeli arak. Kementerian itu berkata dakwaan itu adalah "fitnah" dan bantuan tersebut hanya boleh digunakan untuk membeli 14 kategori barang asas. 

"Kerajaan liberal MADANi. Arak dimasukkan dalam senarai barang keperluan rahmah/mykasih," bunyi siaran Facebook pada 6 September 2025. 

Video yang disertakan menunjukkan tin bir di rak kedai runcit yang dilabel dengan pelekat "Sumbangan Asas Rahmah" dan "MyKasih". 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu dIambil pada 18 September 2025 dengan X merah ditambah oleh AFP

Siaran serupa juga disiarkan pada Instagram dengan pengguna meninggalkan komen berkata: "Pelik juga minuman yg d haramkan blh beli melalui Sara..mgkn permintaan org bkn Islam memerlukn minuman ni".

Seorang lagi bertanya: "Arak barang keperluan ke???"

Dakwaan ini tular selepas bantuan tunai RM100 bagi setiap warganegara berusia 18 tahun ke atas yang diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada bulan Julai mula dibelanjakan pada 31 Ogos (pautan arkib). 

Bantuan kewangan itu tidak boleh digunakan untuk membeli minuman keras.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan yang disiarkan pada akaun rasmi Facebooknya pada 4 September yang memaparkan tangkapan skrin siaran palsu itu berkata dakwaan itu adalah fitnah.

"AWAS FITNAH BERKAIT SARA! Berhati-hati dengan mesej palsu yang tular di media sosial berhubung Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Jangan mudah terpedaya!," katanya dalam siaran itu yang turut menyenaraikan barangan yang boleh dibeli. 

Image
Tangkapan skrin siaran Facebook kementerian kewangan yang diambil pada 19 September 2025

Menurut senarai di laman web rasmi SARA, 14 jenis barangan boleh dibeli menggunakan bantuan itu tetapi ia tidak termasuk arak (pautan arkib).

Image
Senarai barangan yang boleh dibeli menggunakan bantuan SARA

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami