Imej janaan AI disiarkan sebagai gambar sebenar gempa bumi Afghanistan

Imej yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) yang menunjukkan bangunan runtuh disiarkan dengan dakwaan palsu yang ia menunjukkan keadaan di Afghanistan selepas gempa bumi melanda negara tersebut pada bulan Ogos dan mengorbankan lebih 2,200 orang.

"Gempa bumi berkekuatan 6.0 pada skala Richter telah menggoncang Afghanistan. Setakat ini, dilaporkan seramai 600 orang terkorban, manakala ratusan lagi cedera," bunyi siaran Facebook pada 1 September 2025. 

Siaran itu berkongsi imej yang menunjukkan bangunan dikelilingi runtuhan pada waktu malam, dengan beberapa orang berdiri di luar.

Imej serupa juga disiarkan di Facebook dengan dakwaan: "TERKINI! Gempa bumi kedua bermagnitud 5.2 gegarkan Afghanistan dalam tempoh kurang 48 jam selepas kejadian pertama yang telah meragut lebih daripada 1,400 nyawa." 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 23 September 2025 dengan X merah ditambah oleh AFP

Siaran itu tular selepas gempa bumi berkekuatan 6.0 magnitud menggegar wilayah timur Afghanistan pada 31 Ogos dan mengorbankan lebih 2,200 orang dalam bencana paling dahsyat di negara itu (pautan arkib). 

Siaran serupa juga disiarkan di sini dan di sini. ia juga dikongsi dalam bahasa Inggeris, Hindi dan Thai

Carian imej terbalik di Google mendapati dua-dua imej itu dilabelkan sebagai "Dibuat dengan Google AI" dalam ciri "Mengenai imej ini"

Image
Tangkapan skrin daripada Google Images, dengan label AI diserlahkan oleh AFP

Apabila tera air SynthID dikesan, ini bermakna "imej itu telah dijana atau diubah suai dengan AI", jurucakap Google pernah memberitahu AFP.

SynthID, yang dilancarkan oleh makmal DeepMind AI Google pada tahun 2023, boleh mengenal pasti imej yang dijana dengan Google AI (pautan arkib di sini dan di sini).

Analisis imej juga mendapati ralat visual yang menunjukkan ia dijana menggunakan AI.

Dalam imej pertama, bayang-bayang kelihatan menghala ke arah sumber cahaya. Dalam imej kedua, runtuhan kelihatan terdiri daripada bahan yang berbeza daripada rumah yang musnah.

Image
Tangkapan skrin yang menyerlahkan ralat visual dalam imej

Saluran berita lain, termasuk BBC Verify dan Deutsche Welle, juga telah mengenal pasti imej itu dibuat dengan AI (pautan arkib di sini dan di sini).

AFP pernah menafikan maklumat salah berkaitan gempa bumi di Afghanistan di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami