Imej hasil AI dikongsi secara palsu sebagai 'flotilla bantuan menuju ke Gaza'

Selepas konvoi Global Sumud Flotilla yang bertujuan membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza berlepas dari Sepanyol pada akhir bulan Ogos, beberapa imej hasil janaan kecerdasan buatan (AI) yang menunjukkan konvoi bot yang dihiasi dengan bendera Palestin disiarkan dengan dakwaan salah ia menunjukkan flotilla tersebut. Tetapi, salah satu imej yang disiarkan mengandungi tera air Google Gemini manakala gambar bot dalam imej palsu juga tidak sepadan dengan gambar yang diambil oleh AFP. 

"Ratusan sukarelawan pelbagai bangsa dan agama datang dari 44 negara bersatu mengharungi lautan membawa bantuan makanan dan perubatan buat rakyat Gaza," bunyi siaran Facebook pada 3 September 2025. 

Siaran itu disertakan dengan imej yang menunjukkan beberapa kapal yang kelihatan sangat serupa, masing-masing dihiasi dengan beberapa bendera Palestin.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu yang diambil pada 10 September 2025 dengan X merah ditambah oleh AFP

Siaran serupa disiarkan beratus kali di  Facebook  dan juga di Instagram

Satu lagi imej dengan pandangan berbeza turut beredar, dengan salah satu bot dihias dengan kain rentang dengan perkataan "Flotilla Sumud Global".

Kapsyen siaran itu mengatakan ia menunjukkan "beratus-ratus sukarelawan dari 44 negara membawa makanan dan ubat-ubatan ke Gaza sambil mempertaruhkan nyawa mereka".

Image
Tangkapan skrin siaran palsu yang diambil pada 10 September 2025 dengan X merah ditambah oleh AFP

Imej itu tersebar selepas konvoi Global Sumud Flotilla berlepas dari Barcelona pada 31 Ogos dengan kira-kira 20 bot membawa bantuan dan aktivis, termasuk aktivis iklim Sweden Greta Thunberg (pautan arkib).

Kumpulan itu ingin menembusi sekatan Israel ke atas Gaza, di mana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan kebuluran dan memberi amaran bahawa 500,000 orang sedang mengalami kelaparan melampau (pautan arkib).

Penganjur flotilla itu berkata dua buah bot yang berlabuh di Tunisia telah diserang dron pada awal September (pautan arkib)

Namun, imej-imej yang beredar atas talian telah dijana menggunakan kecerdasan buatan. 

Carian imej terbalik di Google mendapati bahawa imej itu dilabel sebagai "Dibuat dengan Google AI" dalam ciri "Mengenai imej ini".

Keupayaan untuk mengesan imej yang dijana AI adalah berdasarkan teknologi SynthID Google, yang telah dilancarkan oleh makmal AI DeepMind pada tahun 2023 (pautan arkib di sini dan di sini).

Ikon bintang di bahagian bawah sebelah kanan salah satu imej juga menunjukkan ia dijana menggunakan pembantu AI Google Gemini (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin daripada Google Images, dengan label AI diserlahkan oleh AFP

Gambar yang diambil oleh AFP pula menunjukkan bot-bot itu mempunyai badan berwarna hitam atau putih -- bukan biru seperti yang digambarkan dalam imej yang dijana AI.

Tiada satu pun kapal yang membawa kain rentang bertulis "Flotilla Global Sumud".

Image
Gambar yang diambil di Barcelona pada 31 Ogos oleh jurugambar AFP Lluis Gene menggambarkan bot flotila menuju ke Gaza (AFP)

AFP sebelum ini telah menafikan dakwaan palsu mengenai perang di Gaza di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami