Gambar PM Anwar, logo Sinar Harian disalah guna sebar 'scam' bantuan tunai

  • Diterbitkan pada hari 02/10/2025 jam 04:03
  • Dikemas kini pada hari 02/10/2025 jam 05:58
  • Durasi bacaan 2 minit
  • Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Satu grafik diubah yang menyalahgunakan logo akhbar Sinar Harian dan gambar Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah tersebar bersama dakwaan palsu beliau mengumumkan subsidi kepada ibu tunggal, suri rumah serta orang bujang. Kementerian Kewangan memberitahu AFP bahawa siaran itu adalah "penipuan pancingan data", manakala akhbar Sinar Harian juga berkata ia tidak melaporkan berita sedemikian.

"Alhamdulillah Anwar Ibrahim Telah luluskan Bantuan Berjumlah RM1,500 Untuk IBU TUNGGAL - SURI RUMAH - BUJANG Sahaja," bunyi teks pada siaran TikTok dikongsi pada 17 September 2025.

Siaran itu menunjukkan satu tangkapan skrin grafik berita yang menggunakan logo Sinar Harian yang turut memaparkan gambar Perdana Menteri Anwar Ibrahim berdiri di podium.

"Boleh Memohon Bermula 17 Sept Sampai 21 Sept 2025," tambah siaran itu.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu TikTok yang diambil pada 24 September 2025, dengan tanda merah X ditambah AFP

Grafik sama menyerupai siaran media sosial Sinar Harian dan memaparkan pelbagai gambar Anwar turut tersebar di TikTok.

Siaran palsu yang mendakwa kerajaan memberi bantuan tunai kepada rakyat yang memerlukan kerap tersebar di media sosial. 

AFP sebelum ini menafikan akaun yang menyamar sebagai skim bantuan kerajaan dan penipu dalam talian yang menyasarkan golongan rakyat yang memerlukan bantuan kewangan dan permohonan dokumen imigresen dengan menggunakan klip janaan kecerdasan buatan (AI).

Seorang jurucakap Kementerian Kewangan memberitahu AFP pada 30 September bahawa dakwaan yang tersebar itu adalah "penipuan pancingan data".

"Tiada bantuan khusus berjumlah RM1,500 diberikan untuk ibu tunggal," katanya.

Carian kata kunci juga mendapati Sinar Harian tidak menyiarkan sebarang laporan mengenai pengumuman bantuan tunai yang baharu itu (pautan arkib).

Selain itu, grafik yang beredar itu tidak konsisten dengan siaran tulen diterbitkan media sosial Sinar Harian (pautan arkib).

Syarikat akhbar itu menggunakan jenis tulisan berbeza, manakala penanda teks untuk berita "nasional" berwarna merah dan diletakkan pada sudut kiri atas grafik, bukannya di bawah gambar.

Tarikh dinyatakan dalam siaran-siaran Sinar Harian juga berada di bahagian bawah imej bersama pautan URL laman berita rasmi itu dan logo untuk semua akaun media sosialnya.

Image
Perbandingan tangkapan skrin antara siaran palsu (kiri) dan siaran tulen Sinar Harian (kanan), dengan tanda merah X ditambah AFP

Sinar Harian memberitahu AFP bahawa syarikat itu tidak menyiarkan sebarang laporan sedemikian, setakat 30 September 2025.

"Ini bukan gaya penulisan (house style) kami," kata jurucakap itu, sambil menunjukkan perkataan lain dalam grafik itu yang dieja dengan salah sebagai petunjuk ia disunting. 

Carian imej terbalik Google diikuti dengan carian kata kunci mendapati gambar Anwar yang digunakan dalam grafik salah itu pada asalnya diterbitkan oleh agensi berita Reuters pada 5 November 2023 (pautan arkib).

Kapsyen itu berbunyi: "Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim bercakap dalam satu sidang media semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, di Putrajaya, Malaysia, 05 November 2023."

Image
Perbandingan tangkapan skrin antara gambar suntingan (kiri) dan imej tulen oleh Reuters (kanan)

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami