
Ini video perarakan bot di Turki, bukan aktivis belayar ke Gaza
- Diterbitkan pada hari 08/10/2025 jam 11:16
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Devesh MISHRA, AFP India
- Terjemahan dan adaptasi AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Semakin Hampir.. Semoga perjalanan kalian selamat sampai & dalam peliharaan ALLAH S.W.T," bunyi kapsyen siaran TikTok dikongsi pada 13 September 2025, dengan tanda pagar #SumudNusantara dan #Sumudflotilla.
Klip itu menunjukkan seangkatan bot sedang belayar di sebuah perairan.

Para aktivis yang antaranya termasuk aktivis iklim Sweden Greta Thunberg telah berangkat dari Barcelona pada 31 Ogos dalam misi untuk menghantar makanan dan bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dikenali sebagai Global Sumud Flotilla (GSF) (pautan arkib).
Tentera Israel berkata pada 3 Oktober tentera lautnya telah menghentikan semua 42 kapal misi kemanusiaan itu dan polisnya berkata "lebih daripada 470 peserta flotilla telah ditahan oleh polis tentera".
GSF berkata kapal-kapal mereka telah "dipintas secara haram" dan aktivis terlibat telah "diculik secara tidak sah".
Video itu telah dikongsi dengan dakwaan serupa di TikTok, serta Instagram dan Facebook, tetapi ia tidak menunjukkan flotilla GSF.
Carian imej terbalik di Google menemui satu video TikTok yang menunjukkan adegan yang sama diterbitkan pada 26 Mei dengan tanda pagar termasuk "Istanbul" dan "Galatasaray" (pautan arkib).

Video asal itu dikongsi sehari selepas peminat dari kelab bola sepak Galatasaray mengadakan perarakan bot berskala besar berlepas dari Sarayburnu merentasi Selat Bosphorus untuk meraikan kemenangan pasukan mereka dalam Liga Super Turki, lapor Agensi Anadolu milik kerajaan Turki (pautan arkib).
Klip itu juga menunjukkan tiang bendera dan garisan pokok sama seperti yang terdapat di semenanjung Sarayburnu seperti dilihat di Google Maps (pautan arkib).

Akaun rasmi X kelab bola sepak itu juga menyiarkan klip perarakan bot yang menunjukkan seangkatan bot mengibarkan bendera merah dan kuning kelab itu -- sepanduk yang sama seperti dilihat dalam video palsu itu (pautan arkib di sini dan di sini).

AFP telah menafikan dakwaan palsu lain yang berkaitan dengan konflik di Gaza.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami