
Ini video protes di Nepal, bukan Perancis
- Diterbitkan pada hari 01/10/2025 jam 10:48
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: AFP Indonesia
- Terjemahan dan adaptasi AFP Malaysia , Raevathi SUPRAMANIAM
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Ratusan ribu orang berdemonstrasi di seluruh Perancis menentang pemotongan bajet yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan Perancis yang dipimpin oleh Presiden Emmanuel Macron. Namun video yang disiarkan di media sosial dengan dakwaan ia menunjukkan protes tersebut sebenarnya dirakam di Nepal.
"Keganasan Berterusan di Perancis, Rakyat Tuntut Peletakan Jawatan Macron," bunyi siaran Facebook pada 14 September 2025.
Video yang disertakan menunjukkan ribuan penunjuk perasaan berdepan dengan polis.

Ratusan warga Perancis turun berhimpun di seluruh negara pada 18 September bagi menentang pemotongan bajet yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan Perancis untuk mengurangkan defisit bajet (pautan arkib)
Mengikut seruan daripada kesatuan sekerja, penunjuk perasaan mengadakan "Hari Tindakan" yang menghentikan pengangkutan awam dan sekolah, manakala rakyat membanjiri jalan dalam demonstrasi yang kadangkala membabitkan pertembungan dengan pihak polis.
Ramai penunjuk perasaan menyasarkan Macron secara langsung, yang kini hanya tinggal 18 bulan dalam penggal pemerintahannya dan mengalami tahap populariti paling rendah sejak memegang jawatan.
Siaran serupa disiarkan di sini dan juga di TikTok. Ia juga tular di Indonesia.
Carian imej terbalik menunjukkan video itu tidak ada kena mengena dengan protes di Perancis.
Demo Kathmandu
Carian imej terbalik di Google membawa kepada siaran TikTok pada 8 September yang menunjukkan ia dirakam di Nepal (pautan arkib).
"Saya berada di sini untuk menyokong demo Gen Z. Mari kita bersatu untuk berkata TIDAK kepada penyalahgunaan wang cukai kita untuk menjalankan gaya hidup mewah," bunyi kapsyen siaran itu.
Tambah siaran itu: "Hasil titik peluh warga Nepal harus digunakan untuk kesejahteraan rakyat, bukan untuk menunjuk-nunjuk."
Gelombang protes besar-besaran di Nepal yang digerakkan anak muda dikenali sebagai Gerakan Gen Z menyaksikan Parlimen diserbu, hotel mewah dibakar dan kediaman pemimpin politik menjadi sasaran kemarahan rakyat terhadap gaya hidup elit di salah sebuah negara termiskin di dunia (pautan arkib).

Ia juga sepadan dengan foto yang diambil oleh AFP.

AFP sebelum ini telah menafikan siaran palsu mengenai protes Perancis di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami