
Video persembahan di Portugal disalah tafsir sebagai 'paderi peluk Islam laungkan azan'
- Diterbitkan pada hari 10/10/2025 jam 11:16
- Durasi bacaan 1 minit
- Oleh: AFP Timur Tengah & Afrika Utara
- Terjemahan dan adaptasi AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Paderi Portugis memeluk Islam, membeli sebuah gereja di luar bandar Portugal, dan mengangkat azan di dalamnya...," tulis teks pada video TikTok dikongsi pada 25 September 2025.
Video itu menunjukkan orang ramai sedang melihat lelaki itu melaungkan azan di hadapan pintu gereja.

Video sama turut dikongsi di Facebook dan Instagram serta dalam siaran serupa berbahasa Inggeris, Arab dan Indonesia.
Namun, lelaki yang melaungkan azan itu bukannya seorang paderi Portugis.
Carian imej terbalik di Google menemui klip yang sama dengan siaran Facebook dikongsi pada 16 Ogos oleh Mahmoud Fares, yang menyatakan pada profilnya dia adalah seorang penyanyi dari Aleppo, Syria (pautan arkib).
Menerusi kapsyen video Fares, dia berkata video itu dirakam di sebuah festival di bandar Silves, Portugal.

Vokalis Syria itu juga berkongsi beberapa gambar lain yang menunjukkan dia membuat persembahan di luar gereja bandar itu dalam siaran Facebook berasingan pada 16 Ogos (pautan arkib).
Fares juga menyiarkan video persembahannya pada 2019, 2021 dan 2023, dengan menyatakan bahawa ia adalah sebahagian daripada Pameran Abad Pertengahan (pautan arkib di sini, di sini dan di sini).
AFP menghubungi Fares untuk mendapatkan komen, tetapi tiada maklum balas diterima.
Pameran Silves Medieval (Feira Medieval de Silves) diadakan di bandar itu setiap Ogos dengan edisi 2025 berlangsung dari 8 hingga 16 Ogos (pautan arkib).
Silves merupakan satu hab Muslim terkemuka pada abad ke-12 dan ke-13 dan pameran itu menghidupkan semula kehidupan harian orang ramai yang hidup pada zaman itu dan menampilkan para artis, penghibur Sufi dan pedagang yang berpakaian tradisional (pautan arkib).
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami