
Siaran media sosial palsu mendakwa Tesla mengeluarkan telefon pintar
- Diterbitkan pada hari 17/10/2025 jam 09:54
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Raevathi SUPRAMANIAM, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Siaran palsu di media sosial mendakwa syarikat kenderaan elektrik milik Elon Musk, Tesla, telah melancarkan telefon pintar. Dakwaan itu tular selepas syarikat aeroangkasa, SpaceX, yang juga miliknya mengumumkan rancangan untuk memasuki industri rangkaian mudah alih. Namun tiada bukti menunjukkan bahawa Musk atau Tesla telah melancarkan telefon pintar, manakala imej yang disertakan dalam siaran itu memaparkan gambar telefon yang direka dan tidak wujud setakat 17 Oktober 2025.
“Kemas Kini Terbaru! Telefon Tesla Pi $789 Akhirnya Ada STARLINK Percuma! Elon Musk Kata "Apple Patut Risau!" bunyi sebahagian hantaran di Facebook pada 22 September 2025.
Ia memaparkan kolaj tiga imej, di mana imej pertama kononnya menunjukkan Musk memegang sebuah telefon pintar dengan tulisan "Tesla" dan "Pi Phone" di bahagian belakang. Dua lagi imej masing-masing menunjukkan sebuah telefon pintar dengan logo Apple dan satu lagi dengan logo serta tulisan Tesla di belakangnya.

Hantaran serupa disiarkan di tempat lain di Facebook, dan turut dikongsi oleh pengguna dari Nigeria, Bangladesh dan Amerika Syarikat.
Siaran itu muncul selepas SpaceX mengumumkan pembelian spektrum tanpa wayar bernilai AS$17 bilion untuk digunakan oleh perkhidmatan satelit Starlink. Dalam satu temu bual bersama The Washington Post, Musk menyatakan bahawa sasaran seterusnya ialah industri rangkaian mudah alih, dengan hasrat untuk bersaing dengan syarikat seperti Verizon dan T-Mobile, bukan Apple, seperti yang didakwa dalam hantaran palsu tersebut (pautan arkib).
Setakat 17 Oktober 2025, tiada pengumuman rasmi daripada Tesla atau Musk mengenai pelancaran telefon pintar.
Dalam satu sesi dialog awam yang diadakan di Pennsylvania pada Oktober 2024, Musk, apabila disoal bila syarikatnya akan melancarkan telefon menjawab: "Saya benar-benar berharap kami tidak perlu melancarkan telefon" (pautan arkib).
Tambahnya: "Idea untuk membuat telefon membuatkan saya rasa seperti nak mati. Jika kami perlu buat telefon, kami akan buat, tetapi kami akan cuba sedaya upaya untuk tidak melakukannya."
Carian kata kunci di akaun media sosial Musk dan Tesla tidak menunjukkan sebarang pengumuman rasmi mengenai telefon pintar.
Carian lanjut di laman web rasmi Tesla hanya menyenaraikan produk seperti kenderaan, tenaga dan produk pengecasan (pautan arkib).
Tesla tidak membalas soalan daripada AFP.
Perincian terhadap imej-imej yang dikongsi bersama hantaran palsu itu menunjukkan bahawa "telefon Tesla" tersebut memaparkan dua reka bentuk logo yang berbeza -- satu dengan tulisan "Tesla" dan "Pi Phone" di belakang, dan satu lagi hanya menampilkan logo dan tulisan Tesla.
Penjenamaan yang tidak konsisten ini bercanggah dengan pendekatan reka bentuk Tesla, yang menekankan estetika minimalis dan garis reka bentuk yang bersih. Ini menunjukkan bahawa imej-imej tersebut mungkin telah dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI) (pautan arkib).

iPhone yang dipaparkan dalam hantaran palsu itu juga tidak sepadan dengan mana-mana produk Apple yang berada di pasaran ketika ini. Telefon tersebut kelihatan menyerupai iPhone 15, yang hanya ditawarkan dalam warna merah jambu, kuning, hijau, biru dan hitam (pautan arkib).
Telefon berwarna oren yang dilihat dalam imej tersebut hanya ditawarkan pada model iPhone 17 Pro terkini, yang mempunyai tiga kamera belakang.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami