Gambar menteri kesihatan dimanipulasi AI untuk promosi produk tak berdaftar

Gambar Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dan bekas pegawai kerajaan dimanipulasi menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan dikongsi dalam siaran media sosial yang mengiklankan krim rawatan sakit sendi yang tidak berdaftar dengan bahagian regulatori farmasi. Seorang jurucakap kementerian dan pegawai itu memberitahu AFP bahawa imej mereka telah disunting.

"Alhamdulillah! Sakit lutut saya hampir hilang sepenuhnya. Terima kasih Dr Dzulkefly Ahmad atas nasihat anda," tulis sebahagian kapsyen pada siaran Facebook dikongsi pada 10 Oktober 2025.

Ia disiarkan pada akaun yang dibuka pada hari yang sama dengan nama "Hj. Roslan Mohamad", seorang bekas pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Siaran itu mendakwa Dzulkefly telah mengesyorkan produk bernama "Bee Venom Joint Cream" kepada pemilik akaun itu untuk membantu mereka yang mengalami sakit lutut dan sendi.

Krim itu digunakan oleh atlet yang pulih daripada kecederaan serius dan sakit lutut dialami pegawai itu hampir hilang sepenuhnya, dakwa pemilik akaun itu lagi.

Beberapa gambar disertakan dalam siaran palsu itu termasuk dua gambar bekas pegawai itu bersama Dzulkefly dalam pelbagai acara yang menunjukkan mereka memegang produk tersebut.

Satu pautan dalam siaran itu membawa kepada sebuah laman web di mana gel itu boleh dibeli dengan harga RM55 satu bekas.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu yang diambil pada 22 Oktober 2025 dengan tanda X merah ditambah AFP

Akaun yang sama berkongsi imej serupa dalam siaran lain, manakala akaun lain menyebarkan imej hasil manipulasi bekas pegawai kerajaan lain serta selebriti, semuanya mempromosikan krim sendi yang sama.

Bagaimanapun, menteri kesihatan dan Roslan Mohamad memberitahu AFP gambar mereka telah disunting dan laporan telah dibuat kepada SKMM.

Selain itu, tiada rekod "Bee Venom Joint Cream" ditemui dalam pangkalan data Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), menunjukkan ia tidak didaftarkan di negara ini (pautan arkib).

Carian imej terbalik dan kata kunci di Google menemui gambar asal pada halaman Facebook sebenar Roslan Mohamad, dikongsi secara berasingan pada 9 September, 27 Julai dan 25 Jun (pautan arkib di sini, di sini dan di sini).

Image
Perbandingan tangkapan skrin bagi imej yang disunting (kiri) dan gambar yang dikongsi oleh Roslan Mohamad (kanan)

Siaran terbabit tidak menyebut bahawa produk itu disyorkan oleh Kementerian Kesihatan. 

Carian imej terbalik Google yang berasingan mendapati imej itu dilabel sebagai "Buatan Google AI" dalam fitur "Tentang gambar ini".

Keupayaan untuk mengesan imej yang dijana AI adalah berdasarkan teknologi SynthID Google, yang telah dilancarkan oleh makmal AI DeepMind pada 2023 (pautan arkib di sini dan di sini).

Satu logo bintang pada bahagian bawah sebelah kanan gambar disunting itu juga menunjukkan ia dijana dengan bantuan Google AI, Gemini (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin Google Images, dengan label AI ditandakan AFP

AFP pernah menafikan dakwaan palsu lain yang dikongsi oleh akaun yang menyamar dan menyalahgunakan nama kementerian dan agensi kerajaan di sini dan di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami