Kenyataan ahli akademik China disalah tafsir sebagai respons rasmi terhadap 'ancaman Israel'

  • Diterbitkan pada hari 27/10/2025 jam 08:49
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: AFP Malaysia

Selepas China menyangkal dakwaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu bahawa negara itu sedang menjalankan serangan terhadap kedaulatan Israel, satu video tular dengan dakwaan ia menunjukkan jurucakap Beijing memberi respons. Sebenarnya, klip itu menunjukkan timbalan presiden sebuah badan pemikir memberi ucapan di sebuah forum di Filipina. 

"Perdana Menteri Israel Netanyahu mengancam China, dan seorang jurucakap China memberi respons di Filipina," bunyi siaran TikTok pada 29 September 2025. Teks pelekat pula berbunyi: "Beranikah mereka berperang dengan China?"

Klip itu menunjukkan seorang lelaki berucap di podium, merujuk kepada keupayaan ketenteraan China dan mengatakan hanya Amerika Syarikat yang setanding dengannya.

Pada permulaan klip, lelaki itu berkata: "Encik Abrams juga mencabar saya, mengatakan bahawa pembangunan ketenteraan China merupakan satu cabaran, satu ancaman kepada negara jiran kami."

Beliau kemudian berkata: "Saya harap Washington telah belajar daripada pengalaman. Jika mereka mahu perang, mereka akan dapat perang."

Klip itu berakhir dengan kenyataan: "China tidak akan melepaskan tembakan pertama, tetapi China tidak akan membenarkan mereka melepaskan tembakan kedua." 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 15 Oktober 2025 dengan X merah ditambah oleh AFP

China mengiktiraf Palestin dan telah mengkritik operasi ketenteraan Israel di Gaza (pautan arkib di sini dan sini).

Klip itu mula tersebar selepas Netanyahu mendakwa dalam satu ucapan pada 15 September bahawa China adalah antara beberapa negara yang menganjurkan serangan terhadap kesahihan Israel (pautan arkib).

Sebagai respons, jurucakap kedutaan China di Israel menyatakan bahawa mereka "terkejut" dengan kenyataan Netanyahu, dan mendakwa kenyataan itu "tidak berasas, menjejaskan hubungan China-Israel, dan merupakan sesuatu yang sangat dibimbangi serta ditentang keras oleh China" (pautan arkib).

Jurucakap itu turut menyatakan bahawa China berharap kepada "kewujudan bersama secara aman antara semua negara di rantau ini, serta keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama", namun tidak menyebut apa-apa mengenai kekuatan ketenteraan Beijing.

Klip serupa yang kononnya menunjukkan respons jurucakap China turut dikongsi di TikTok dan di Singapura.

Namun, ia sebenarnya menunjukkan Victor Gao, naib presiden Pusat Pemikiran China dan Globalisasi, sedang berucap di sebuah forum di Manila, dan beliau tidak menyebut langsung tentang kenyataan Netanyahu.

Ucapan di Manila

Carian imej terbalik membawa kepada satu hantaran dalam bahasa Cina di X pada 29 September yang berkongsi video sama ucapan Gao, dengan kapsyen yang menyifatkan kenyataannya sebagai "intimidasi strategik" — satu istilah rekaan yang digunakan pengguna dalam talian untuk menggambarkan komen ketenteraan yang terlalu optimistik berkaitan hal-ehwal China (pautan arkib).

Klip itu juga memaparkan teks Cina di sudut kanan atas yang berbunyi "Forum hubungan China-Filipina, Manila, Filipina. 17 September 2025".

Carian lanjut menggunakan kata kunci di Google membawa kepada video penuh berdurasi empat jam Forum Hubungan Filipina-China di YouTube (pautan arkib)

Ucapan Gao merangkumi hubungan dua hala China-Filipina dan Filipina-Amerika Syarikat, perang tarif AS, serta keupayaan ketenteraan China, antara lain. Namun, beliau tidak menyebut langsung tentang Israel atau Netanyahu dalam ucapannya. 

Image
Perbandingan tangkapan skrin antara hantaran palsu (kiri) dan video YouTube

Klip yang tersebar itu juga telah disunting dan menunjukkan ucapan Gao dalam susunan yang tidak mengikut kronologi.

Dalam ucapan asal, Gao memulakan dengan menyatakan bahawa beliau percaya China dan Amerika Syarikat perlu menyelesaikan konflik mereka secara aman. "Antara negara yang mempunyai kuasa nuklear, anda tidak akan berperang, kerana jika anda berperang, anda akan mengalami "MAD", kemusnahan bersama yang dijamin… China dan Amerika Syarikat akhirnya perlu hidup dalam keamanan," kata Gao.

Bahagian ucapan Gao yang dilihat dalam separuh akhir klip yang tersebar bermula selepas ini, pada minit 1:07:42 dalam video asal di YouTube.

Beliau bercakap tentang keupayaan bom hidrogen China sebelum menyebut perdebatan beliau mengenai hubungan AS-China di rangkaian berita Arab Saudi, Al Arabiya, bersama ahli politik Amerika, Elliot Abrams, yang pernah menjadi penasihat dasar luar kepada beberapa presiden AS termasuk Donald Trump (pautan arkib di sini dan sini).

Gao berkata beliau memberi amaran kepada Abrams: "Saya pada asasnya memberitahunya, jika anda mahu perang, anda akan dapat perang."

Sementara itu, kenyataan Gao mengenai komen Abrams tentang pembangunan ketenteraan China yang dilihat pada permulaan klip yang tersebar sebenarnya bermula selepas itu, pada minit 1:09:47 dalam siaran forum di YouTube.

Beliau seterusnya menyatakan harapannya agar China dan Filipina dapat "melihat satu sama lain sebagai rakan, bukan sebagai musuh".

Ucapan Gao di Forum Manila turut dilaporkan oleh media Filipina, yang menyatakan beliau menggesa negara Asia Tenggara itu untuk mengekalkan hubungan seimbang dengan China dan Amerika Syarikat (pautan arkib di sini dan sini).

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami