Siaran palsu peletakan jawatan menteri pendidikan muncul susulan kes ganas di sekolah

Tekanan orang awam terhadap kementerian pendidikan meningkat berikutan beberapa siri insiden tingkah laku ganas di sekolah, tetapi dakwaan bahawa menterinya, Fadhlina Sidek, telah meletak jawatan adalah palsu. Kementerian Pendidikan (KPM) memberitahu AFP Fadhlina belum berundur dan setakat 27 Oktober 2025, tiada laporan rasmi menunjukkan beliau melepaskan jawatan.

Tangkapan skrin yang kononnya menunjukkan satu grafik berita yang memaparkan imej Fadhlina telah dikongsi di Facebook pada 19 Oktober.

Teks di bawah gambar itu berbunyi, "MENTERI PENDIDIKAN, FADHLINA SIDEK LETAK JAWATAN".

Siaran itu muncul berikutan tekanan orang ramai yang semakin meningkat terhadap menteri itu berhubung cara beliau mengendalikan pelbagai kes keganasan di sekolah, termasuk kes buli, pembunuhan dan rogol (pautan di sini, di sini dan di sini).

Pada 22 Oktober lalu, Fadhlina menerima memorandum mengenai keselamatan sekolah daripada aktivis di luar pagar Parlimen di tengah-tengah laungan mendesak beliau meletak jawatan, lapor The Star (pautan arkib).

Memorandum itu menggesa pendidikan seks yang komprehensif berdasarkan hak kanak-kanak dan piawaian antarabangsa yang menekankan konsep persetujuan, sempadan peribadi dan celik emosi (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin siaran palsu yang diambil pada 25 Oktober 2025 dengan tanda X merah ditambah AFP

Imej yang sama turut dikongsi di Instagram dan TikTok dengan satu lagi gambar Fadhlina.

Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan memberitahu AFP pada 23 Oktober bahawa siaran yang beredar itu adalah "palsu" dan Fadhlina belum meletak jawatan.

AFP tidak menemui laporan media yang boleh dipercayai atau kenyataan rasmi kerajaan yang mengumumkan peletakan jawatannya, setakat 27 Oktober.

Laman web rasmi KPM menunjukkan beliau kekal disenaraikan sebagai menteri yang terkini (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin laman web rasmi Kementerian Pendidikan, diambil pada 25 Oktober 2025

AFP pernah menafikan dakwaan palsu lain yang dikongsi oleh akaun yang menyamar dan menyalahgunakan nama kementerian dan agensi kerajaan di sini dan di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami