Video lama lubang benam di Pulau Pinang tular ketika musim tengkujuh di negeri utara

Selepas Pulau Pinang dilanda hujan yang menyebabkan beberapa kejadian tanah runtuh, satu video lama yang menunjukkan kejadian lubang benam tular di media sosial dengan dakwaan palsu ia dirakam pada November 2025. Persatuan Penduduk di Tanjung Bungah -- lokasi rakaman video tersebut -- memberitahu AFP bahawa lubang benam itu telah ditimbus semula dan tiada kejadian tanah runtuh dilaporkan baru-baru ini di kawasan kejiranan yang ditunjukkan.

"Ada tanah runtuh kat Tanjung Bungah, Beverly Hills - Penang. 7hb November 2025," bunyi siaran Facebook pada 7 November 2025. Teks yang tertera dalam video itu turut membuat dakwaan yang sama.

Video yang disertakan menunjukkan lubang benam di hadapan deretan rumah baharu yang dipenuhi air berlumpur. Seorang lelaki yang bercakap dalam dialek Hokkien kedengaran berkata: "Sakit kepala betul. Keadaan sekarang sangat teruk."

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 10 November 2025 dengan X merah ditambah oleh AFP

Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata pihaknya meningkatkan pemantauan di kawasan berisiko tanah runtuh di negeri itu menjelang musim tengkujuh yang dijangka bermula pertengahan November dan membawa angin kencang serta hujan berterusan (pautan arkib di sini dan sini).

Hantaran serupa turut disiarkan di  Threads, TikTok and Instagram.

Walaupun Pulau Pinang mengalami beberapa kejadian tanah runtuh selepas hujan lebat pada akhir Oktober, termasuk di kawasan pesisir utara Tanjung Bungah, video yang tular itu sebenarnya dirakam beberapa tahun lalu (pautan arkib).

Carian imej terbalik di Google membawa kepada satu hantaran Facebook bertarikh 5 November 2017 dengan kapsyen: "Tanah runtuh di Beverly Hills, Tanjung Bungah, Pulau Pinang" (pautan arkib).

Hantaran itu menyertakan video yang menunjukkan lubang benam dan kawasan perumahan yang sama.

Image
Perbandingan tangkapan skrin siaran palsu (kiri) dan siaran Facebook dari 2017 (kanan)

Carian kata kunci di Google menemui gambar lubang benam yang sama dalam laporan portal berita Free Malaysia Today bertarikh 5 November 2017 bertajuk "Selepas hujan lebat, lubang benam di Tg Bungah buat penduduk resah" (pautan arkib).

Laporan itu berkatan lubang benam tersebut muncul selepas jalan di luar kawasan perumahan baharu runtuh.

Seorang jurucakap Persatuan Penduduk Tanjung Bungah memberitahu AFP bahawa "tiada tanah runtuh berlaku baru-baru ini, atau sejak kejadian asal".

Jurucakap itu turut berkongsi beberapa gambar diambil pada 25 September 2025 yang menunjukkan kerosakan akibat tanah runtuh dan lubang benam telah dibaiki. Tambahnya tiada sesiapa yang tinggal di kawasan itu pada masa ini.

Image
Gambar kawasan perumahan tersebut yang diambil pada 25 September 2025 dan dikongsi oleh Tanjung Bunga Residents Association kepada AFP

AFP sebelum ini menafikan siaran palsu yang berkongsi klip AI palsu mengenai tanah runtuh di Pulau Pinang.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami