Imej anjing menyelamatkan kucing dari banjir di Thailand janaan AI

Selatan Thailand dilanda banjir selepas hujan lebat berterusan pada akhir November, tetapi imej seekor anjing yang kononnya membawa anak kucing kepada penyelamat di dalam bot sebenarnya dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI). Gambar-gambar tersebut pada asalnya disiarkan dengan penafian bahawa ia bukan imej benar, dan alat pengesan Google mendapati ia dihasilkan menggunakan AI.

"Seekor anjing menggigit kemas anak kucing kecil di dalam mulutnya dan menggunakan seluruh tenaganya untuk berlari menuju bot penyelamat bagi meminta pertolongan!," bunyi sebahagian siaran Facebook pada 23 November 2025. 

Siaran yang menunjukkan seekor anjing membawa anak kucing meredah air banjir itu telah dikongsi sebanyak 6,800 kali. 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 28 November 2025

Banjir di selatan Thailand akibat hujan berterusan selama seminggu telah mengorbankan lebih daripada 170 orang nyawa, kata pihak berkuasa negara itu (pautan arkib).

Lebih daripada 1,200 orang telah dipindahkan dari rumah mereka di wilayah Songkhla, di mana darurat telah diisytiharkan.

Thailand sering mengalami hujan lebat dari Jun hingga September, tetapi pakar berkata perubahan iklim yang didorong manusia telah memperhebat cuaca ekstrem, menjadikan keadaan semakin tidak menentu.

Imej yang sama turut disiarkan di Instagram, Threads, TikTok, dan X. Ia juga disebarkan dalam bahasa  InggerisVietnam, Burma dan Cina.

"Hebatnya seekor anjing selamatkan seekor kucing...ksh syg antara haiwan," kata seorang pengguna. 

Seorang lagi berkata: "Haiwan pun tahu nilai kasih syg."

Tetapi visual tersebut sebenarnya dijana menggunakan alat AI Google.

Carian imej terbalik di Google mendedahkan semua imej ditandakan sebagai "Made with Google AI".

Google SynthID Detector -- alat yang dilancarkan pada Mei 2025 untuk mengenal pasti kandungan yang dijana AI -- mengesan tanda air digital yang menunjukkan ia dicipta menggunakan model generatif Google (pautan arkib).

Image
Image
Image
Tangkapan skrin SynthID Detector yang mengesahkan imej itu dijana dengan Google AI

Imej tersebut juga mengandungi ketidakselarasan visual yang menunjukkan kandungan generatif AI, seperti sebuah rumah di latar belakang salah satu gambar yang kelihatan mempunyai beberapa pintu depan.

Sementara itu, paras air juga kelihatan tidak konsisten, dengan pokok dan bangunan yang dilanda banjir pada paras tinggi tetapi badan anjing kekal di atas air.

Tanda masa dan tarikh di sudut kanan bawah menunjukkan "8.10 PM" walaupun gambar kelihatan seperti waktu siang.

Image
Tangkapan skrin imej yang dijana AI dengan visual tidak konsisten diserlahkan oleh AFP

Carian kata kunci selanjutnya membawa kepada siaran TikTok pada 26 November yang mengandungi tera air Veo 3 model penjanaan teks-ke-video berkuasa AI daripada Google DeepMind.

Image
Tangkapan skrin siaran TikTok yang menunjukkan tera air Veo 3

AFP telah menafikan dakwaan lain berkaitan banjir baru-baru ini di Thailand.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami