Ini gambar banjir di Vietnam, bukan Hat Yai

Ribuan penduduk di selatan Thailand terpaksa berpindah selepas kawasan itu dilanda banjir teruk. Tetapi imej yang kononnya menunjukkan bandar Hat Yai tenggelam sebenarnya diambil di Vietnam. Jurugambar yang menangkap gambar tersebut mengesahkan kepada AFP yang ia diambil pada 29 Oktober 2025.

"Bandar Hat Yai, Wilayah Songkhla: Gambar terkini menunjukkan bandar itu sedang tenggelam," bunyi sebahagian siaran Facebook pada 26 November 2025. 

Siaran itu memaparkan satu imej yang diambil dari udara dan menunjukkan rumah ditenggelami air. 

Tulisan bahasa Thai pada gambar itu pula berkata: "Imej terkini. Seluruh kawasan hampir ditenggelami air. Hat Yai banjir."

Image

Kerajaan Thailand mengisytiharkan darurat di wilayah Songkhla pada 25 November selepas hujan lebat sejak minggu lalu menenggelami pusat pelancongan Hat Yai dan kawasan di selatan negara itu.

Bencana itu menyebabkan puluhan ribu penduduk teraksa berpindah dan meragut sekurang-kurangnya 267 nyawa, kebanyakannya di Hat Yai, menurut Kementerian Kesihatan di negara itu (pautan arkib).

Imej tersebut turut dikongsi bersama dakwaan serupa di Instagram. Ia juga tular dalam kalangan pengguna di Thailand dan Myanmar.

Namun imej itu tidak menunjukkan banjir di Thailand.

Banjir Vietnam

Carian imej terbalik di Google menemui imej serupa daripada klip TikTok yang dikongsi pada 21 November 2025 (pautan arkib).

"Vietnam, hujan dan banjir telah menenggelami segalanya #sosad," bunyi kapsyen bahasa Vietnam.

Image
Perbezaan tangkapan skrin siaran palsu (kiri) dan siaran TikTok

Pengguna TikTok itu tidak memberi respon selepas dihubungi AFP dan AFP tidak dapat mengesahkan asal-usul video tersebut secara bebas

Carian kata kunci seterusnya membawa kepada imej serupa yang diterbitkan oleh laman web kerajaan Vietnam.VN mengenai banjir di Vietnam pada 30 Oktober 2025 (pautan arkib).

Imej tersebut dikreditkan kepada jurugambar tentera Mai Thanh Hai, yang memberitahu AFP bahawa beliau menangkap gambar itu dari pesawat tentera yang terbang di atas Hoi An pada 29 Oktober 2025 (pautan arkib).

"Gambar ini diambil semasa pesawat hampir mendarat di Lapangan Terbang Da Nang, dan ia berada dalam kawasan Hoi An," kata Hai kepada AFP pada 25 November 2025.

Image
Perbandingan tangkapan skrin antara hantaran palsu (kiri) dan foto udara oleh Mai Thanh Hai (kanan).

Foto Hai bersama beberapa lagi imej lain turut diterbitkan dalam akhbar Thanh Nien yang berpusat di Ho Chi Minh City pada 30 Oktober (pautan arkib).

Hai mengenal pasti Jambatan Cua Dai di bahagian kanan atas imej dan berkata kawasan melengkung yang ditenggelami air itu adalah hutan kelapa (pautan arkib).

Banjir akibat hujan lebat pada akhir bulan Oktober menenggelami lebih 100,000 rumah di wilayah tengah dan tanah tinggi Vietnam (pautan arkib). Menjelang akhir November, angka korban meningkat kepada sekurang-kurangnya 90 orang apabila banjir menenggelami lebih 80,000 hektar tanah pertanian dan membunuh lebih 3.2 juta ternakan (pautan arkib).

AFP telah menafikan dakwaan lain berkaitan banjir di Thailand.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami