Imej Google Earth lama disalah guna gambarkan krisis di Sudan

Pasukan Sokongan Pantas (RSF) telah dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai setelah mengambil alih bandar El-Fasher di Sudan. Namun, imej Google Earth yang tular dengan dakwaan ia menunjukkan salah satu tapak pembunuhan tersebut adalah palsu. Sebenarnya, ia adalah imej lama dan diambil di sebuah bandar kira-kira 400 kilometer (250 batu) daripada El-Fasher. Seorang pakar memberitahu AFP bahawa imej itu menggambarkan haiwan ternakan, bukan mayat manusia.

"Kini tumpukan darah dan jasad-jasad syahid di Sudan sudah boleh dilihat dari Google Earth…," bunyi sebahagian kapsyen siaran Instagram pada 10 November 2025. 

Klip itu adalah rakaman skrin imej satelit Google Earth yang ditumpukan ke kawasan tanah gelap, di mana beberapa bentuk kelihatan menyerupai mayat.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu yang diambil pada 26 November 2025 dengan tanda X merah ditambah AFP

Visual yang sama turut dikongsi bersama dakwaan serupa di Facebook dan Threads selain turut tersebar di Afrika SelatanFilipinaIraqVietnamIndonesia dan Bangladesh.

Ruang komen dipenuhi dengan emoji menangis dan doa, menunjukkan ramai pengguna mempercayai dakwaan tersebut.

Pasukan RSF didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai dan kekejaman lain sejak mereka menawan El-Fasher, kubu terakhir tentera Sudan di Darfur Barat pada 26 Oktober 2025 (pautan arkib).

Kumpulan itu telah berperang dengan tentera Sudan sejak April 2023.

Laporan oleh Humanitarian Research Lab dari Universiti Yale berkata imej satelit yang dianalisis oleh mereka menunjukkan kemungkinan besar sebahagian besar penduduk di El-Fasher mungkin "mati, ditawan, atau bersembunyi" (pautan arkib).

Makmal itu mengenal pasti sekurang-kurangnya 31 kelompok objek yang konsisten dengan mayat manusia di kawasan kejiranan, kawasan universiti dan tapak tentera.

Namun, imej satelit yang tular dalam talian bukan daripada laporan Yale dan tiada kaitan dengan kekejaman yang didakwa di El-Fasher itu.

Barisan unta

Carian imej terbalik membawa kepada hantaran Instagram bertarikh 14 November 2025 yang berkongsi imej sama seperti dalam video dan dakwaan palsu yang sama.

Namun bar gelintar Google Earth kelihatan dan memaparkan lokasi sebagai "Kumia, Sudan", sebuah bandar kira-kira 400 kilometer (250 batu) dari El-Fasher, manakala kapsyen menyertakan koordinat kawasan tersebut.

Image
Tangkapan skrin siaran Instagram menunjukkan koordinat Google Earth

Carian di Google Earth memaparkan imej yang sama seperti dalam hantaran palsu. Data sejarah menunjukkan imej satelit itu dirakam pada 16 Mac 2024. Pemandangan yang sama juga muncul dalam imej dari Februari 2024 dan Mac 2022.

Penyiasat sumber terbuka Benjamin Strick memberitahu AFP bahawa analisisnya terhadap kawasan sekitar lokasi yang dikongsi mendapati banyak kawasan yang kelihatan serupa, menunjukkan ia kemungkinan tapak pengumpulan haiwan (pautan arkib).

Strick menyatakan sudut bayang-bayang -- yang boleh ditentukan dengan melihat struktur tinggi seperti menara air -- terlalu panjang untuk dihasilkan oleh mayat manusia yang terbaring atas tanah. 

Image
Bayang-bayang menara air dan konvoi unta kelihatan dalam imej, ditanda oleh AFP

"Mayat perlu sangat besar untuk menghasilkan bayang jika ia terbaring di tanah. (Jadi ia) mungkin barisan unta, kerana unta suka berdiri dalam barisan, terutamanya ketika dalam konvoi," katanya kepada AFP.

Beliau berkata tompokan gelap di tanah, yang didakwa oleh sesetengah pengguna media sosial sebagai darah itu, berkemungkinan campuran najis dan air. Kawasan gelap yang sama muncul dalam imej satelit sejak 2022.

Wartawan AFP di Sudan juga mengesahkan Kumia adalah hab perdagangan tempatan dan menambah bahawa imej “mungkin sebuah rumah sembelih”.

AFP telah menafikan beberapa dakwaan berkaitan krisis Sudan di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami