Video harimau harung banjir di Terengganu ini janaan AI

Banjir besar di Terengganu pada akhir November 2025 memaksa ribuan mangsa berpindah ke pusat pemindahan sementara. Rakaman yang menunjukkan harimau belang mengharungi air banjir di sebuah kawasan perumahan tidak lama kemudian muncul dalam talian, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna media sosial. Jabatan perhilitan negeri menyangkal dakwaan itu, manakala analisis mendapati terdapat keralatan visual yang menunjukkan video tular itu dijana AI.

"Harimau masuk kampung dekat hulu terengganu. Merisaukan dengan keadaan banjir. Moga2 semua baik," bunyi kapsyen siaran TikTok dikongsi pada 24 November. Klip itu telah ditonton lebih 15 juta kali. 

Siaran itu muncul selepas banjir besar melanda beberapa negeri di Malaysia susulan episod hujan lebat luar biasa yang ditambah lagi dengan fenomena Ribut Tropika Senyar (pautan arkib di sini dan di sini).

Banjir di Terengganu menyebabkan 11,000 orang penduduk terpaksa berpindah ke lebih 500 pusat pemindahan sementara membabitkan lapan daerah (pautan arkib). Di seluruh negara, sekurang-kurangnya dua orang telah terkorban (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin siaran palsu yang diambil pada 4 Disember 2025 dengan tanda X merah ditambah AFP

Video itu dikongsi dalam siaran serupa di Facebook, TikTok dan Instagram. Ia juga muncul di Indonesia di mana banjir dahsyat telah mengorbankan sekurang-kurangnya 962 orang, kebanyakannya di wilayah utara Sumatera, Aceh (pautan arkib di sini dan di sini).

Komen-komen di siaran itu menunjukkan ramai pengguna media sosial keliru, dengan sesetengahnya bimbang dengan kelibat haiwan pemangsa itu.

"Kalau benar agak bahaya," kata seorang pengguna di Malaysia. Komen lain yang ditulis dalam bahasa Indonesia berbunyi: "Saya mahu bantu, tetapi saya takut dimakan."

Bagaimanapun, carian imej terbalik di Google membawa kepada siaran Facebook yang berkongsi visual serupa harimau dalam air banjir itu, termasuk satu imej yang sepadan dengan video yang beredar itu, bersama kapsyen "Amaran: ini adalah video AI, hanya untuk hiburan" (pautan arkib).

Analisis terperinci terhadap rakaman itu menunjukkan ia mengandungi ciri tidak konsisten pada visual kandungan yang dijana dengan AI itu.

Menerusi klip itu, seorang individu dilihat sedang merakam harimau itu menggunakan telefon bimbit, tetapi haiwan itu tidak kelihatan pada skrin peranti walaupun sudut kamera digerakkan ke arah haiwan terbabit.

Image
Tangkapan skrin daripada video yang dikongsi secara palsu, dengan ralat visual yang ditanda AFP

Selain itu, apabila kedua-dua ekor harimau itu mengharungi banjir, permukaan air tidak beralun dan air banjir kelihatan terlalu tenang.

Paras air juga dilihat tidak konsisten; air banjir kelihatan tinggi di beberapa buah rumah manakala badan harimau terbabit kekal di atas air.

Walaupun kemajuan pesat dalam AI generatif, ciri-ciri tidak konsisten pada visual seperti ini juga boleh membuktikan bahawa ia tidak tulen.

Alat pengesan AI Hive Moderator juga mendapati video itu 99.9 peratus "berkemungkinan mengandungi kandungan yang dijana AI atau palsu" (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin keputusan alat pengesan AI, Hive Moderator, diambil pada 8 Disember 2025

Loo Kean Seong, pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, menyangkal dakwaan itu dan memberitahu AFP pada 3 Disember bahawa video itu dijana menggunakan AI.

Tiada laporan rasmi mengenai kemunculan harimau berhampiran kawasan perumahan di Indonesia.

AFP telah menafikan visual AI lain yang dikaitkan secara palsu dengan banjir di seluruh Asia Tenggara.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami