Video lama menunjukkan eksperimen tsunami, bukan kesan gempa bumi di utara Jepun
- Diterbitkan pada hari 11/12/2025 jam 08:28
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Gempa bumi kuat berukuran 7.5 di luar pantai utara Jepun mencetuskan ombak tsunami pada 8 Disember. Tetapi klip yang kononnya menunjukkan impak gegaran itu sebenarnya menunjukkan demonstrasi eksperimen tsunami di Institut Penyelidikan Pelabuhan dan Lapangan Terbang di wilayah tengah Kanagawa.
Video itu menunjukkan sekumpulan orang menyaksikan gelombang ombak di sepanjang sebuah struktur seperti longkang yang mengumpulkan kekuatan sebelum terhempas ke benteng dikongsi di Facebook pada 8 Disember 2025.
"Gempa bumi kuat telah berlaku di Berhampiran Pantai Timur Honshu, Jepun pada jam 10:15 malam, 8 Disember 2025," tulis kapsyen siaran itu, sambil menambah "tiada ancaman tsunami kepada" Malaysia.
Siaran itu juga memberi butiran mengenai gempa bumi berukuran 7.5 magnitud yang melanda di luar pantai wilayah Aomori utara pada jam 11:15 malam (1415 GMT) pada hari yang sama dan mencederakan 30 orang (pautan arkib).
Gempa itu, yang mencetuskan gelombang tsunami sehingga 70 sentimeter (28 inci), telah merosakkan jalan raya dan memutuskan bekalan elektrik untuk ribuan penduduk ketika suhu cuaca dingin.
Video yang sama diedarkan dalam siaran Facebook yang serupa tentang gempa itu.
Bagaimanapun, klip itu berusia lebih sedekad dan tidak menggambarkan kesan gempa bumi yang sebenar.
Carian imej terbalik membawa kepada satu video YouTube yang dimuat naik pada 27 Julai 2013 (pautan arkib).
Keterangan pada video itu berbunyi: "Ini adalah video eksperimen tsunami di Institut Penyelidikan Pelabuhan dan Lapangan Terbang, Yokosuka, Kanagawa, Jepun. Pusat ini mempunyai acara rumah terbuka tahunan dan kebanyakan tahun, mereka menunjukkan eksperimen tsunami ini kepada pelawat. Eksperimen ini dibuat pada 27 Julai 2013."
Kanagawa di tengah-tengah Jepun ialah wilayah pesisir pantai di selatan ibu kota Tokyo.
Menurut laman web, Institut Penyelidikan Pelabuhan dan Lapangan Terbang menjalankan penyelidikan mengenai pencegahan dan mitigasi bencana (pautan arkib).
Binaan model dikenali sebagai 'Large Hydro-Geo Flume' (LHGF), seperti yang dilihat dalam video, boleh menjana gelombang ombak berketinggian 3.5 meter dan tsunami 2.5 meter (pautan arkib).
Menurut laman web institut itu lagi, "Model kecil tidak boleh digunakan untuk mengesahkan mekanisme bencana terhadap pemecah ombak atau tembok laut, termasuk gerakan tanah dan kemusnahan struktur. LHGF telah membolehkan penggunaan model bersaiz benar."
Institut itu menerbitkan satu video yang menunjukkan model itu sedang beraksi dan turut memuat naik gambar serupa meunjukkan orang awam menyaksikan eksperimen gelombang tsunami itu (pautan arkib di sini dan di sini).
AFP sebelum ini menafikan pelbagai maklumat salah tentang tsunami dan gempa yang melanda Jepun.
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami