Video kanak-kanak Gaza meredah banjir dijana AI
- Diterbitkan pada hari 19/12/2025 jam 03:09
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP Malaysia
Ribut musim sejuk telah membanjiri kawasan penempatan sementara penduduk Gaza, namun satu video yang tular dengan dakwaan ia menunjukkan kanak-kanak berdiri dalam air banjir dan kesejukan adalah palsu. Klip itu mempunyai tanda-tanda yang menunjukkan ia dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI), dan foto AFP mengenai situasi banjir di wilayah itu berbeza dengan klip yang beredar.
"Hujan & banjir di Gaza," bunyi siaran Facebook pada 28 November, 2025.
Klip itu menunjukkan empat orang kanak-kanak berdiri dalam air banjir paras lutut, dengan seorang kanak-kanak perempuan berkata dalam bahasa Arab: "Cukup, cukup, tolong kami. Kami takut, ke mana kami harus pergi? Kami tiada apa-apa, tolong kami."
Hujan lebat dan cuaca sejuk akibat Ribut Byron melanda Gaza dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) memberi amaran pada 15 Disember sekurang-kurangnya 1.3 juta orang memerlukan bantuan tempat perlindungan dan berdepan risiko hipotermia yang semakin meningkat (pautan arkib).
Kementerian Kesihatan di wilayah yang dikendalikan Hamas berkata seorang bayi berusia dua minggu bernama Muhammad Khalil Abu Al-Khair meninggal dunia akibat hipotermia teruk disebabkan cuaca sejuk melampau.
Kebanyakan bangunan di Gaza telah musnah atau rosak akibat perang selama dua tahun antara Israel dan Hamas, yang tercetus selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mengakibatkan kematian 1,221 rakyat Israel.
Serangan balas Israel ke atas Gaza telah meragut lebih 70,000 nyawa, menurut angka daripada kementerian kesihatan wilayah yang dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Sementara itu, kekurangan bantuan kemanusiaan telah menyebabkan penduduk wilayah itu tidak bersedia menghadapi musim sejuk, dengan akses terhad kepada gas, kayu api, makanan dan ubat-ubatan sejak perang bermula.
Video yang sama turut tersebar di Facebook bersama dakwaan serupa, serta dalam hantaran berbahasa Turki, Arab, Itali, Indonesia dan Thai.
Namun, video tersebut mengandungi tanda-tanda ia dijana oleh AI. Ia mirip kepada satu lagi klip palsu mengenai banjir Gaza yang sebelum ini telah dinafikan oleh AFP dalam bahasa Arab.
Carian imej terbalik di Google membawa kepada video yang telah dipadam dan dilabel sebagai kandungan dijana AI oleh akaun TikTok bernama "nourforpalestine".
Pemeriksaan teliti terhadap video itu menunjukkan visual tidak konsisten yang selaras dengan kandungan dijana AI.
Bendera Palestin di latar belakang kelihatan tidak diikat pada mana-mana palang dan bergerak secara tidak semula jadi. Wayar elektrik pula hilang dan tidak bersambung pada tiang utiliti.
Klip tersebut juga menunjukkan keadaan hujan tetapi kanak-kanak itu tidak kelihatan basah.
Selain itu, mata dan mulut mereka bergerak secara tidak semula jadi, manakala tubuh mereka kekal kaku walaupun bercakap.
Alat pengesan AI Hive Moderation mendapati klip itu "99.9% berkemungkinan mengandungi kandungan dijana AI atau deepfake."
Foto AFP yang menunjukkan penempatan sementara di Gaza yang dilanda banjir juga berbeza daripada klip yang tular. Gambar AFP menunjukkan kanak-kanak meredah air paras buku lali yang dipenuhi lumpur.
AFP telah menafikan dakwaan palsu yang lain tentang konflik Israel-Palestin di sini.
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami