Pengilang Knorr tolak dakwaan kiub pati babi dijual di pasaran tempatan
- Diterbitkan pada hari 23/12/2025 jam 03:51
- Durasi bacaan 1 minit
- Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Siaran tular yang memberi amaran supaya tidak membeli produk jenama Knorr kerana didakwa dihasilkan bersama produk tidak halal di fasiliti yang sama adalah palsu. Unilever menafikan dakwaan tersebut, sambil berkata ia tidak mengeluarkan, mengimport atau mengedarkan pati sup berperisa babi di pasaran tempatan. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pula berkata produk itu tidak mempunyai pensijilan halal.
Imej seorang memegang sebungkus pati sup babi jenama Knorr telah dikongsi di Facebook pada 8 Disember 2025 dengan kapsyen yang bertanya, "serius lah".
Teks pelekat berbunyi: "Jika di Malaysia na jangan lah beli jenama ni. Ia juga mencadangkan bahawa kiub pati berperisa babi itu boleh bercampur di kilang yang sama seperti produk jenama Knorr yang lain."
AFP sebelum ini telah menafikan dakwaan serupa yang menyasarkan jenama minyak masak, sosej, pengeluar minuman dan rangkaian kopi antarabangsa Starbucks.
Dakwaan berkenaaan kiub pati babi jenama Knorr itu turut dikongsi di TikTok , Threads dan WhatsApp.
Bagaimanapun, dakwaan itu tidak berasas.
Carian kata kunci Google mendapati Unilever serta JAKIM, kedua-duanya menyangkal dakwaan serupa pada Februari 2020 (pautan arkib di sini dan di sini).
Pada 12 Disember 2025, Unilever memberitahu AFP bahawa syarikat itu tidak mengeluarkan produk yang dilihat dalam imej siaran-siaran terbabit. Syarikat itu juga tidak mengimport atau mengedarkan sebarang jenis kiub pati sup babi berjenama Knorr di negara ini.
"Kami ingin mengesahkan bahawa Kiub Pati Knorr yang dijual di Malaysia oleh Unilever (Malaysia) Holdings Sdn Bhd adalah dihasilkan di Malaysia dan dipersijilkan Halal oleh pihak JAKIM," katanya.
Tambahnya, produk bukan halal di bawah jenama Knorr tidak diimport ke Malaysia.
Dalam pada itu, seorang jurucakap JAKIM juga memberitahu AFP pada 12 Disember 2025 bahawa produk yang tertera dalam imej tular itu tidak layak memiliki pengesahan sijil halal.
"Tiada sebarang penandaan logo halal yang tertera pada label bungkusan produk berkenaan," katanya.
Carian kata kunci selanjutnya mendapati produk tersebut dijual di Filipina, bukan Malaysia (pautan arkib).
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami