Saman tertunggak tidak jejas kelayakan BUDI95

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggesa orang awam menyelesaikan tunggakan saman sebelum akhir tahun 2025. Namun, siaran di media sosial yang mendakwa mereka yang gagal membayar saman tertunggak akan hilang kelayakan subsidi RON95 adalah palsu. Kementerian Pengangkutan juga menyangkal dakwaan itu dan berkata saman tertunggak tiada kaitan dengan subsidi petrol. 

"Tak bayar saman sebelum 31 Dis, kelayakan Budi Ron95 bakal ditarik mulai tahun depan," bunyi siaran TikTok yang dikongsi pada 10 Disember 2025. 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 15 Disember 2025 dengan X merah ditambah oleh AFP

JPJ telah berulang kali menggesa pemandu untuk menjelaskan saman tertunggak sebelum 1 Januari 2026, manakala Kementerian Pengangkutan berkata pengurangan antara 50 hingga 70 peratus bagi saman boleh dikompaun dikeluarkan JPJ dan PDRM (pautan arkib di sini dan di sini).

Hantaran yang mendakwa pemandu yang tidak membayar saman sebelum 31 Disember akan kehilangan subsidi RON95 turut muncul di TikTok dan Facebook, dengan dakwaan itu dipercayai berpunca daripada artikel akhbar Malay Mail yang kini telah dipadam.

Walaupun Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook memberi amaran bahawa pemandu boleh disenarai hitam jika gagal membayar saman, dakwaan yang tersebar adalah tidak tepat.

Hanya ada dua syarat untuk menerima subsidi RON95 -- iaitu warganegara Malaysia dan memiliki lesen memandu yang sah (pautan arkib).

Carian kata kunci di Google membawa kepada hantaran yang menyangkal dakwaan tersebut di Facebook rasmi Kementerian Kewangan pada 10 Disember (pautan arkib).

Ia turut menyertakan kenyataan daripada Kementerian Pengangkutan yang berkata: "Berdasarkan dasar semasa, untuk memohon atau terus menikmati subsidi petrol BUDI95, pemohon hendaklah memenuhi syarat asas berikut -- mestilah warganegara Malaysia yang disahkan melalui MyKad dan pemohon mestilah memiliki lesen memandu yang aktif."

Image
Tangkapan skrin siaran Facebook Kementerian Pengangkutan diambil pada 15 Disember 2025

AFP sebelum ini telah menafikan dakwaan palsu lain mengenai subsidi kerajaan Malaysia.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami