Siaran salah dakwa penembak Pantai Bondi warga Israel, kongsi imej palsu
- Diterbitkan pada hari 23/12/2025 jam 04:22
- Dikemas kini pada hari 23/12/2025 jam 04:23
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Masroor GILANI, AFP Pakistan
Selepas insiden tembakan beramai-ramai di Pantai Bondi terkenal di Sydney semasa satu acara keagamaan sempena perayaan Hanukkah, pengguna media sosial secara palsu mendakwa serangan itu dilakukan oleh "orang mereka sendiri". Mereka mendakwa salah seorang penembak adalah seorang lelaki warga Israel bernama "David Cohen", tetapi imej yang kononnya diambil daripada profil Facebooknya mengandungi kesilapan yang menunjukkan ia dijana oleh AI. Media Australia telah mengenal pasti suspek dalam insiden itu sebagai Sajid Akram dan anaknya Naveed.
"Mulanya mereka nak salahkan Muslim atas kejadian serangan di Australia. Namun bila disiasat, rupanya geng diaaa," bunyi sebahagian siaran Facebook yang dikongsi pada 16 Disember 2025.
Tangkapan skrin akaun Facebook yang kononnya milik penembak itu disertakan dalam siaran tersebut. Teks pelekat pada tangkapan skrin itu berbunyi: "Profil Facebook penembak Pantai Bondi yang bocor sebelum ia dipadam. Nama sebenarnya ialah David Cohen dan dia Yahudi. Dari Israel!"
Lima belas orang terbunuh dan 42 lagi dimasukkan ke hospital dalam insiden tembakan di salah satu pusat tarikan pelancong terbesar di bandar terbesar Australia itu (pautan arkib).
Polis berkata salah seorang penembak ialah seorang lelaki berusia 50 tahun, warganegara India yang telah tinggal di Australia selama beberapa dekad (pautan arkib). Lelaki itu terbunuh ketika berbalas tembakan dengan pihak polis.
Seorang lagi penembak yang berusia 24 tahun merupakan anak kepada penembak yang terbunuh itu dan merupakan pemegang pasport Australia. Dia juga ditembak dan masih dirawat di hospital di bawah kawalan polis.
Perdana Menteri Anthony Albanese menyifatkan serangan itu sebagai "satu perbuatan kejahatan mutlak, satu perbuatan antisemitisme, satu perbuatan keganasan di tanah air kita".
Siaran itu serta dakwaan serupa di Facebook terus tersebar walaupun media Australia telah menamakan penembak pada 15 Disember sebagai Sajid Akram dan anaknya Naveed.
Naveed didakwa dengan 15 pertuduhan membunuh selepas sedar daripada koma pada 17 Disember, serta melakukan "perbuatan keganasan" dan menanam bom dengan niat untuk mencederakan (pautan arkib).
Tiada laporan rasmi yang menyatakan Naveed mempunyai nama samaran "David Cohen".
Selain itu, terdapat beberapa petunjuk bahawa profil Facebook yang didakwa itu sebenarnya dijana kecerdasan buatan (AI).
Imej tersebut mengandungi "bukti kukuh" menunjukkan ia bersifat sintetik oleh alat pengesanan veraAI, InVID-WeVerify.
Analisis teliti terhadap imej itu juga menunjukkan elemen yang tidak konsisten dengan halaman profil Facebook sebenar, serta kesilapan yang menunjukkan ia adalah kandungan dijana AI.
Perkataan dalam profil -- termasuk "People" dan "Engage" -- dieja dengan salah, dan butang "Add a new friends" sepatutnya berwarna biru di bahagian kanan atas halaman.
Media sosial dibanjiri dengan maklumat salah selepas insiden tembakan di Pantai Bondi itu mengenai identiti penembak dan seorang lelaki yang bertindak berani, serta reaksi beberapa kumpulan tertentu terhadap serangan itu.
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami