KKM nafi dakwaan pesakit 'walk-in' tidak diterima di Klinik Kesihatan
- Diterbitkan pada hari 07/01/2026 jam 08:26
- Dikemas kini pada hari 07/01/2026 jam 08:30
- Durasi bacaan 1 minit
- Oleh: Raevathi SUPRAMANIAM, AFP Malaysia
Kementerian Kesihatan menggalakkan orang ramai untuk membuat janji temu sebelum mengunjungi Klinik Kesihatan bagi mengurangkan kesesakan. Namun hantaran di media sosial yang mendakwa Klinik Kesihatan tidak lagi menerima pesakit tanpa janji temu adalah tidak benar. Kementerian Kesihatan telah menafikan dakwaan itu dan sebuah Klinik Kesihatan memberitahu AFP bahawa pesakit "walk-in" masih diterima.
"Tiada lagi walk in di Klinik Kesihatan," bunyi sebahagian siaran Facebook pada 30 Disember 2025.
Hantaran itu turut memaparkan tangkap layar satu lagi catatan yang menyebarkan dakwaan sama dan mendakwa dasar tersebut akan bermula pada Januari 2026.
Sistem kesihatan awam di negara sering bergelut dengan masalah kesesakan dan kekurangan tenaga kerja. Oleh itu, Kementerian Kesihatan menggalakkan orang ramai membuat janji temu sebelum mengunjungi Klinik Kesihatan (pautan arkib).
Dalam satu kenyataan di akaun Facebook rasminya, kementerian itu berkata itu membantu "melancarkan pengurusan pesakit dan mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan" (pautan arkib).
Dakwaan sama turut dikongsi akauan Facebook lain dan di Instagram.
Namun, carian kata kunci di Google membawa kepada penafian yang dikongsi oleh Kementerian Kesihatan di akaun Facebook rasminya pada 1 Januari (pautan arkib).
"Walaupun sistem janji temu adalah kaedah utama, ruang untuk pesakit walk-in tetap disediakan, khususnya bagi kes kecemasan, warga emas, dan golongan yang mempunyai kekangan akses teknologi," kata kementerian itu.
"Pesakit tanpa janji temu tetap dilayan namun perlu melalui proses penilaian (triage) terlebih dahulu."
Wartawan pemeriksa fakta AFP di Malaysia yang menghubungi sebuah Klinik Kesihatan pada 5 Januari dimaklumkan bahawa “janji temu adalah digalakkan tetapi pesakit walk-in masih diterima”.
AFP sebelum ini telah menafikan beberapa dakwaan palsu lain mengenai dasar yang kononnya dilaksanakan oleh kerajaan.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami