Video poster Maduro diturunkan dirakam pada 2024, sebelum operasi ketenteraan AS

Video yang menunjukkan poster Nicolas Maduro diturunkan oleh rakyat Venezuela tular dengan dakwaan ia menunjukkan rakyat negara itu meraikan tangkapan pemimpin itu oleh pasukan khas Amerika Syarikat dalam satu serbuan pada awal pagi 3 Januari 2026. Namun, klip tersebut tidak berkaitan dengan operasi ketenteraan Amerika dan sebenarnya dirakam pada 2024 susulan pilihan raya negara itu yang dipertikaikan.

"Poster Presiden Nicolás Maduro, yang ditangkap oleh AS, sedang dirobohkan di seluruh Venezuela," bunyi siaran Facebook pada 3 Januari 2026.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 7 Januari 2026 dengan X merah ditambah oleh AFP

Siaran serupa juga disiarkan oleh akaun Facebook lain. Ia juga tular dalam bahasa Sepanyol

Maduro dan isterinya, Cilia Flores, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mengedarkan dadah di sebuah mahkamah New York pada 5 Januari selepas mereka ditahan dalam satu operasi yang menyaksikan tentera Amerika menyerbu Caracas dan membawa mereka keluar dari negara itu (pautan arkib di sini dan di sini). 

Ribuan warga Venezuela berarak di Caracas pada 5 Januari bagi menyokong Maduro, manakala timbalannya, Delcy Rodríguez, mengangkat sumpah sebagai pemangku presiden (pautan arkib). 

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berkata beliau bersedia bekerjasama dengan Rodríguez selagi beliau memenuhi tuntutannya untuk memberikan syarikat AS akses kepada rizab minyak Venezuela yang besar.

Rakyat Venezuela yang menetap di Chile dan Mexico turut berkumpul untuk meraikan penyingkiran pemimpin autoritarian berhaluan kiri itu (pautan akib).

Namun, video yang memaparkan poster Maduro diturunkan itu tidak berkaitan dengan campur tangan ketenteraan Amerika Syarikat.

Carian imej terbalik membawa kepada rakaman sama yang dikongsi di X dan Facebook seawal 29 Julai 2024 (pautan arkib di sini dan di sini). 

Kapsyen siaran itu berkata video itu menunjukkan poster Maduro diturunkan ketika protes terhadap pilihan raya negara itu pada 28 Julai 2024 yang dipertikaikan, di mana Maduro mengumumkan kemenanganya.

AFP melaporkan ketika itu bahawa poster kempen Maduro telah dikoyakkan dan dibakar semasa protes yang menolak keputusan pilihan raya yang mencetuskan gelombang bantahan di seluruh negara.

Poster dalam video tersebut mengandungi singkatan "PPT", yang merujuk kepada "Patria Para Todos", sebuah organisasi politik yang menyokong pencalonan Maduro pada tahun 2024.

AFP sebelum ini telah menafikan maklumat palsu lain berkaitan penangkapan Maduro di sini dan di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami

Artikel berkaitan