Siaran palsu kongsi berita rekaan dakwa TikTok bakal ditutup

Semua platform media sosial dan perkhidmatan pesanan dengan lebih lapan juta pengguna di Malaysia akan tertakluk kepada undang-undang negara bagi melindungi golongan bawah umur dan memastikan akauntabiliti. Namun, dakwaan bahawa kerajaan akan mengharamkan TikTok adalah palsu. Grafik berita yang tersebar di media sosial telah diubah suai daripada TV3. TV3 menafikan menerbitkan artikel tersebut dan telah membuat laporan polis, manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan siasatan sedang dijalankan.

Grafik yang kononya disiarkan oleh TV3 itu dikongsi di Facebook pada 29 Disember 2025 dengan kapsyen berbunyi: "Tutup sekali MCMC".

Ia memaparkan imej Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dengan tajuk: "TikTok Malaysia akan ditutup kerana ia merugikan negara kita – Fahmi Fadzil".

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 30 Disember 2025 dengan X merah diambah oleh AFP

Platform media sosial yang mempunyai lebih daripada lapan juta pengguna secara automatik tertakluk kepada undang-undang negara bermula 1 Januari 2026. Ia sebahagian daripada usaha kerajaan untuk melindungi kanak-kanak  dan mengukuhkan akauntabiliti platform tersebut (pautan arkib).

Antara perkhidmatan yang memenuhi kriteria tersebut ialah Instagram, Facebook dan WhatsApp milik Meta, TikTok milik ByteDance, YouTube milik Alphabet, serta Telegram.

Malaysia juga sedang mempertimbangkan untuk mengharamkan media sosial bagi kanak-kanak di bawah umur 16 tahun bagi mengekang jenayah siber rentas usia termasuk melindungi kanak-kanak daripada pemangsa seksual (pautan arkib).

Hantaran serupa yang mendakwa Malaysia akan mengharamkan TikTok turut tersebar di Facebook, Instagram dan TikTok

Namun, grafik berita tersebut adalah rekaan dan tiada laporan rasmi bahawa Malaysia akan mengharamkan platform media sosial itu.

Pemeriksaan teliti terhadap grafik berita yang tersebar mendapati ia mengandungi logo alat kecerdasan buatan (AI) Google, Gemini, di sudut kanan bawah, menunjukkan ia dijana menggunakan AI. 

Gaya grafik itu juga tidak sepadan dengan imej berita sebenar yang diterbitkan oleh TV3, termasuk tarikh yang diletakkan di sudut kanan atas bukannya kiri bawah, serta penggunaan fon yang berbeza.

Image
Perbandingan tangkapan skrin siaran palsu (kiri) dan siaran benar daripada TV3 (kanan)

Carian kata kunci Google membawa kepada hantaran daripada TV3 yang diterbitkan di Threads pada 29 Disember 2025, menafikan bahawa ia telah menerbitkan laporan tersebut (pautan arkib).

"Hantaran mengenai Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkait isu TikTok adalah palsu dan direka serta disebarkan pihak tidak bertanggungjawab. Tangkap layar yang tular itu adalah fitnah semata-mata dan bukan daripada saluran rasmi kami," kata penyiar itu, sambil menambah bahawa ia telah membuat laporan polis.

Image
Tangapan skrin siaran Threads TV3 diamvil pada 30 Disember 2025

Fahmi juga menyifatkan dakwaan palsu itu sebagai "fitnah" di akaun Facebook rasminya pada 29 Disember (pautan arkib)

Carian seterusnya membawa kepada kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang mengesahkan bahawa ia sedang menyiasat penggunaan logo TV3 untuk menyebarkan berita palsu (pautan arkib). 

"Siasatan awal MCMC mendapati kandungan berkenaan telah diubah suai dan disahkan sebagai palsu, serta kenyataan tersebut tidak pernah dikeluarkan oleh Menteri Komunikasi," katanya dalam kenyataan yang disiarkan. 

MCMC juga memaklumkan seorang individu yang disyaki terlibat telah dipanggil untuk membantu siasatan.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami