Siaran palsu kaitkan menteri dengan dakwaan pindah hospital untuk pembinaan kuil

  • Diterbitkan pada hari 01/04/2026 jam 08:14
  • Durasi bacaan 2 minit
  • Oleh: AFP Malaysia

Kuil tidak berdaftar sering mencetuskan kemarahan orang ramai, namun dakwaan bahawa sebuah hospital awam di Pulau Pinang akan dipindahkan agar tidak 'mengganggu' sebuah kuil berhampiran adalah tidak berasas. Siaran yang telah dipadam itu memetik Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim. Pembantunya telah membuat laporan polis terhadap pengguna media sosial yang menyebarkan dakwaan salah itu. Lembaga Pelawat hospital terbabit berkata cadangan mereka sebenarnya adalah mengenai kerja penambahbaikan, bukannya pemindahan.

"HOSPITAL BUKIT MERTAJAM AKAN DIPINDAHKAN AGAR TAK GANGGU KUIL — STEVEN SIM CHEE KEONG," bunyi siaran Facebook dikongsi pada 22 Mac 2026 itu memetik Sim, yang juga ahli parlimen Bukit Mertajam.

Siaran itu memaparkan gambar Sim di hospital sedang berbual dengan jururawat, kononnya bertarikh 22 Mac.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 26 Mac 2026 with a red X added by AFP

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pada Februari bahawa kerajaan akan mengambil tindakan terhadap rumah ibadat haram, khususnya yang  yang dibina di tapak tidak sah, namun memberi amaran terhadap sikap 'vigilante' (pautan arkib).

Tidak lama selepas itu, empat individu ditahan kerana menceroboh dan merobohkan sebuah kuil yang dibina secara haram, namun kemudian dibebaskan (pautan arkib).

Antara mereka ialah aktivis Tamim Dahri Abdul Razak, yang kini diburu polis dan berkata dia hanya akan kembali ke Malaysia jika permintaannya supaya empat kuil dirobohkan dipenuhi (pautan arkib).

Namun, Hospital Bukit Mertajam tidak dipindahkan dan dakwaan yang tular itu adalah tidak berasas.

Tiada pemindahan

Carian kata kunci di Google menemui laporan beberapa media yang menyatakan bahawa pegawai khas Sim, Lim Zheng Han, telah membuat laporan polis terhadap akaun Facebook bernama 'Hamly Hadi', indivisu pertama menyebarkan dakwaan tersebut (pautan arkib).

Lim berkata beliau membuat laporan "berhubung penyebaran kenyataan yang menghasut perkauman dan agama di media sosial, yang mengandungi dakwaan tidak benar mengenai hospital tersebut", sambil menambah bahawa kenyataan itu adalah tidak benar, mengelirukan dan berniat jahat.

Beliau berkata tiada cadangan untuk memindahkan hospital, sebaliknya hanya rancangan membina bangunan baharu di tapak sedia ada bagi menampung pertambahan pesakit.

Carian lanjut turut menemui bahawa Lembaga Pelawat Hospital Bukit Mertajam telah membuat laporan polis dan menafikan dakwaan terbabit (pautan arkib).

Seorang lagi pembantu Sim berkongsi kenyataan lembaga itu di Facebook pada 23 Mac 2026, yang menyebut dakwaan palsu tersebut adalah "berniat jahat" dan bertujuan menghalang usaha penambahbaikan hospital (pautan arkib).

"Kami menggesa pihak berkuasa menyiasat pemilik akaun Facebook tersebut, mengambil tindakan tegas di bawah undang-undang berkaitan fitnah, hasutan dan penyebaran berita palsu, serta menghentikan penyebaran naratif jahat yang boleh menggugat ketenteraman awam," katanya.

Carian imej terbalik seterusnya terhadap gambar Sim di hospital yang dikongsi dalam hantaran berkenaan membawa kepada satu siaran Facebook oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang bertarikh 17 September 2025.

Image
Tangkapan skrin siaran Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang yang diambil pada 27 Mac 2026

Menurut  siaran itu, Sim melawat hospital terbabit pada 14 September 2025 bagi merasmikan kemudahan baharu untuk orang kurang upaya dan tandas sifar sisa (pautan arkib). Isu pemindahan hospital tidak disebut dalam siaran Facebook itu. 

Sim tidak memberi respons terhadap pertanyaan lanjut oleh AFP ketika artikel diterbitkan. 

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami