Ini video lama kekecohan di pusat pawagam Israel, bukan 'perbalahan' di lapangan terbang Tel Aviv
- Diterbitkan pada hari 27/03/2026 jam 09:11
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: AFP Timur Tengah & Afrika Utara
- Terjemahan dan adaptasi Devesh MISHRA, AFP India, AFP Malaysia
Israel menutup ruang udaranya pada permulaan perang Asia Barat yang tercetus selepas serangan bersama Israel-AS yang membunuh pemimpin tertinggi Iran pada Februari 2026. Namun, satu video tular tidak menunjukkan para pengembara yang mendesak untuk meninggalkan Israel di Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv. Klip itu sebenarnya dirakam di sebuah pawagam di Jerusalem dan memaparkan sekumpulan individu menyerang kakitangan kerana enggan membuka semula kios makanan selepas waktu operasi berakhir.
"Pendatang haram Israel bergaduh antara satu sama lain di Lapangan Terbang Ben Gurion di wilayah yang diduduki," tulis kapsyen pada siaran Facebook dikongsi pada 12 Mac 2026. "Mereka mula berbalah selepas tertekan akibat lebih 100 penerbangan dibatalkan sejak semalam."
Klip itu menunjukkan dua kumpulan orang sedang membaling objek antara satu sama lain di sebuah kaunter.
Tentera Iran melancarkan serangan balas ke atas Israel dan beberapa negara Teluk yang menempatkan kepentingan AS dengan serangan peluru berpandu dan dron selepas serangan bersama AS-Israel membunuh pemimpin tertingginya Ayatollah Ali Khamenei pada 28 Februari (pautan arkib).
Israel menutup ruang udaranya pada hari itu manakala syarikat penerbangan antarabangsa mengumumkan mereka akan menangguhkan penerbangan ke rantau itu, termasuk Israel (pautan arkib di sini dan di sini).
Beberapa syarikat penerbangan Israel kemudiannya menyambung semula beberapa penerbangan dengan syarat keselamatan yang ketat. Kementerian pengangkutan Israel juga mengumumkan pada 16 Mac bahawa ia mahu menambah bilangan penumpang yang dibenarkan melakukan perjalanan dari Ben Gurion, bergantung kepada garis panduan keselamatan.
Penerbangan terganggu sekali lagi selepas tentera Israel berkata pada 18 Mac "serpihan" telah terkena lapangan terbang antarabangsa Ben Gurion berikutan tembakan peluru berpandu Iran, tanpa menyatakan bila kejadian itu berlaku. Pesawat El Al kemudian mengumumkan ia akan menangguhkan penerbangan ke berpuluh-puluh destinasi selama seminggu kemudian pada bulan itu.
Dakwaan itu tersebar di tempat lain di Facebook, namun ia tidak berkaitan dengan perang Asia Barat.
Carian imej terbalik menemui video adegan yang sama dari sudut lain dikongsi pada 20 Julai 2025 dalam siaran X yang menyatakan ia menunjukkan kekecohan di pawagam di Jerusalem (pautan arkib).
Saluran berita Al Araby TV juga menerbitkan laporan video pada hari yang sama sambil menambah bahawa klip itu diambil di Cinema City di Jerusalem dan tiga kakitangan dilaporkan cedera (pautan arkib).
Satu gambar pawagam yang diterbitkan di Google Maps pada 2023 menunjukkan banyak elemen yang sama seperti dalam video salah itu, termasuk tangga pada latar belakang, siling berwarna kuning dan kaunter-kaunter pawagam itu (pautan arkib).
Organisasi media Israel, Israel National News dan The Times of Israel melaporkan insiden pergaduhan itu, dengan menyatakan berpuluh-puluh pemuda menyerang para pekerja dalam "rusuhan anti-Arab" kerana enggan membuka semula kios minuman selepas waktu operasi (pautan arkib di sini dan di sini).
AFP telah menafikan maklumat salah lain yang berkaitan dengan perang di Asia Barat.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami