Astro Awani nafi terbitkan grafik suntingan dakwa tarif elektrik naik

Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak berkata beliau akan mengumumkan kenaikan tarif elektrik susulan konflik di Asia Barat yang terus memberi impak kepada pasaran minyak dan gas, bertentangan dengan dakwaan palsu yang dikongsi dalam grafik berita diubah dan tersebar di media sosial.  Astro Awani menyangkal grafik itu sebagai "palsu", manakala kerajaan berkata ia komited untuk melindungi pengguna daripada ketidaktentuan pasaran tenaga global.

"Peningkatan tarif baharu elektrik akan dimaklumkan dalam waktu terdekat - PM Anwar," tulis teks pada satu grafik kononnya diterbitkan Astro Awani dikongsi di Facebook pada 29 Mac 2026.

Grafik itu memaparkan imej Anwar dan dikongsi dengan kapsyen yang menyalahkan Anwar kerana menaikkan kadar elektrik ketika harga minyak sedang meningkat.

Konflik di Asia Barat yang dicetuskan oleh serangan bersama AS-Israel ke atas Iran pada 28 Februari 2026 memasuki minggu kelima, mengganggu laluan bekalan utama dan menyebabkan harga bahan api melambung tinggi sekaligus mendorong kerajaan untuk mengekalkan kestabilan ekonomi negara (pautan arkib).

Status Malaysia sebagai pengeluar minyak membolehkan pemberian subsidi yang besar untuk harga bahan api kepada rakyat, tetapi Anwar berkata kesan ketegangan dari konflik itu tidak boleh diabaikan lagi dan mengumumkan pada 26 Mac lalu bahawa kuota petrol disubsidikan kepada rakyat yang layak akan dikurangkan daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 27 Mac dengan tanda X merah ditambah AFP

Grafik yang kononnya dihasilkan oleh Astro Awani itu tersebar di Facebook, Instagram dan TikTok dan mengelirukan para pengguna.

"pasal perang ni...," tulis seorang pengguna di ruangan komen. "Kerajaan gagal...asyik menekan rakyat," kata pengguna lain.

Bagaimanapun, setakat 1 April 2026, perdana menteri tidak berkata caj elektrik akan dinaikkan.

Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa, kira-kira 35 peratus tenaga elektrik negara ini dijana menggunakan gas asli (pautan arkib).

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Fadillah Yusof dalam satu kenyataan di Facebook pada 15 Mac 2026, yang juga timbalan perdana menteri, berkata kerajaan komited melindungi pengguna daripada kesan kenaikan kos bahan api global (pautan arkib).

Katanya, sekitar 85 peratus pengguna domestik di seluruh negara tidak akan terkesan dengan kenaikan harga bahan api berikutan mereka dikecualikan daripada membayar kos tambahan di bawah mekanisme pelarasan bahan api automatik.

Carian kata kunci di Google mendapati Astro Awani menolak grafik itu sebagai "palsu" dalam kenyataan di Instagram pada 29 Mac (pautan arkib).

Syarikat itu berkata pihaknya telah memfailkan laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Image
Tangkapan skrin kenyataan Astro Awani di Instagram

Carian imej terbalik di Google diikuti carian kata kunci menemui grafik asal yang diterbitkan pada akaun Instagram Astro Awani pada 27 Mac, tetapi dengan tajuk "Bekalan minyak stabil hingga Mei, langkah alternatif sedang digerakkan - PM Anwar" (pautan arkib).

Siaran itu tidak menyebut tarif elektrik dinaikkan.

Image
Perbandingan tangkapan skrin grafik yang dikongsi secara salah (kiri) dan siaran Instagram Astro Awani pada 27 Mac

AFP telah menyangkal maklumat salah lain berkaitan konflik di Asia Barat.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami