Kosmetik 'bebas bahan kimia' dipromosi walaupun arahan penarikan KKM
- Diterbitkan pada hari 05/05/2026 jam 10:31
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Raevathi SUPRAMANIAM, AFP Malaysia
Kementerian Kesihatan Malaysia mengarahkan dua produk penjagaan kulit ditarik balik daripada pasaran pada awal April 2026 selepas mendapati produk kosmetik berkenaan mengandungi merkuri serta bahan kimia yang hanya boleh digunakan di bawah pengawasan perubatan. Namun begitu, hantaran yang mengiklankan penjualan produk tersebut terus tersebar di media sosial. Seorang pakar kesihatan memberitahu AFP bahawa orang ramai seharusnya sentiasa mendapatkan nasihat profesional dalam menangani masalah kulit.
Produk berkenaan, iaitu "Glowing Night Cream" dan "Glowing Herbal Treatment", yang dihasilkan oleh syarikat Glowing Beauty Skincare, telah diiklankan secara palsu sebagai bebas bahan kimia dalam satu siaran Facebook yang dikongsi pada 25 April.
"Nak kulit sihat, glowing, dan bebas jerawat? Jom try gb skincare .. Bahan semula jadi, lembut untuk semua jenis kulit," bunyi kapsyen hantaran tersebut, sambil menambah bahawa krim berkenaan mampu menghilangkan kekusaman dan melembapkan kulit.
Imej yang dilampirkan pada hantaran itu menunjukkan sekotak lima jenis produk penjagaan kulit yang berbeza, dua daripadanya telah ditarik balik oleh Kementerian Kesihatan.
Hantaran serupa yang mengiklankan produk tersebut secara palsu turut tersebar di Facebook.
Siaran berkenaan terus tersebar walaupun Kementerian Kesihatan mengarahkan penjualan dan pengedaran kosmetik itu dihentikan serta-merta pada 2 April. Ia memberi amaran bahawa "Glowing Herbal Treatment" mengandungi merkuri yang boleh merosakkan buah pinggang, sistem saraf dan menyebabkan ruam (pautan arkib).
Kementerian itu turut menyatakan bahawa "Glowing Night Cream" mengandungi bahan yang hanya boleh didapati melalui preskripsi seperti betamethasone 17‑valerate, hidrokuinon dan tretinoin, yang boleh menyebabkan kesan sampingan seperti "kemerahan pada kulit, menyebabkan kulit menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi serta meningkatkan risiko penyerapan ke dalam aliran darah".
"Orang awam yang sedang menggunakan kosmetik-kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan."
Carian Google tidak menemui senarai ramuan bagi produk tersebut. AFP telah menghubungi Glowing Beauty Skincare untuk mendapatkan maklum balas tetapi belum menerima sebarang jawapan setakat penerbitan laporan ini.
Dr Alice Prethima, pakar kosmetik dan estetik perubatan, menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mendapatkan bantuan profesional bagi menangani masalah kulit (pautan arkib).
"Penjagaan kulit yang dipreskripsikan adalah amalan terbaik dan analisis kulit perlu dilakukan supaya mereka memahami keadaan kulit masing-masing," kata Prethima kepada AFP pada 30 April.
"Jika mereka perlu membeli secara dalam talian, kualiti penjual mesti dipastikan memandangkan terdapat produk tiruan dan individu yang membuat janji palsu," katanya sambil memberi amaran bahawa tiada "ramuan ajaib" yang mampu menyelesaikan semua masalah.
AFP sebelum ini menyemak fakta maklumat salah berkaitan keselamatan pengguna di Malaysia.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami