Kementerian Kesihatan tarik balik produk kopi campuran segera mengandungi ubat kegagalan fungsi erektil
- Diterbitkan pada hari Rabu 11/09/2024 pukul 04:01
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Produk kopi campuran segera itu diiklankan dalam siaran Facebook dikongsi pada 22 Ogos 2024 yang mendakwa ia adalah "campuran kopi bersama herba-herba terpilih dan berkualiti tinggi dan TIDAK mengandungi campuran kimia".
Siaran itu menyenaraikan beberapa contoh kesesuaian produk untuk pengguna, seperti "lelaki yang ingin menambah tenaga badan" dan "lelaki yang (mahu) menjadi kegilaan wanita".
Satu imej yang disertakan dalam siaran itu menunjukkan puluhan bungkusan produk, Kopi Pejuang, dalam sebuah kotak.
Siaran serupa yang mengiklankan kopi itu dikongsi di Facebook dan TikTok dan telah diedarkan dalam talian di negara ini sejak 2020.
Produk itu, bagaimanapun, mengandungi ubat yang berpotensi membahayakan kesihatan, menurut amaran dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
'Kesan advers serius'
Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan pada 22 Ogos bahawa Kopi Pejuang didapati mengandungi tadalafil, sejenis ubat digunakan untuk merawat kegagalan fungsi erektil atau mati pucuk (pautan arkib).
KKM memberi amaran kepada orang ramai bahawa mengambil ubat itu tanpa pengawasan doktor boleh membawa kepada "kesan advers serius seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat merbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung".
Kementerian itu turut mengarahkan semua penjualan kopi itu dihentikan serta-merta dan peniaga perlu menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan.
"Mengikut Seksyen 13, Akta Makanan 1983, menyatakan mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya," kata KKM.
Menurut maklumat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, tadalafil hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau disediakan di farmasi dengan preskripsi (pautan arkib di sini dan di sini).
Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin antara produk yang ditunjukkan dalam siaran palsu (kiri) dan contoh imej Kopi Pejuang yang disertakan dalam kenyataan media KKM (kanan):
Dr Christopher Ho Chee Kong, pakar urologi dan profesor di Taylor's University memberitahu AFP bahawa pesakit yang mendapatkan rawatan untuk kegagalan fungsi erektil perlu berjumpa dengan doktor.
Pengambilan kopi yang dicampur dengan ubat mati pucuk secara tidak sedar boleh menyebabkan beberapa kesan buruk, katanya pada 2 September lalu.
“Jika seorang pesakit mempunyai masalah jantung dan mengambil ubat tertentu seperti nitrat, ia boleh menyebabkan tekanan darah menurun.
"Mereka yang mengalami kegagalan jantung yang teruk juga mungkin mengalami keadaan yang semakin teruk. Terdapat juga kesan sampingan lain seperti sakit kepala, sakit belakang dan gangguan penglihatan."
Beliau memberi amaran bahawa terdapat "banyak produk di luar sana yang tidak dibenarkan (tetapi) mengandungi dadah berbahaya", dan pengguna perlu berwaspada dan mendapatkan rawatan yang betul daripada pihak profesional perubatan.
AFP sebelum ini menyemak fakta maklumat salah berkaitan keselamatan makanan di Malaysia di sini dan di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami