Ini klip gempa bumi Filipina pada 2025, bukan 2026
- Diterbitkan pada hari 16/06/2026 jam 09:50
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Pasika KHERNAMNUOY, AFP Thailand
- Terjemahan dan adaptasi Raevathi SUPRAMANIAM, AFP Malaysia
Rakaman yang dikongsi selepas gempa bumi bermagnitud 7.8 melanda selatan Filipina pada 8 Jun 2026 menunjukkan sebuah bangunan sekolah runtuh serta murid-murid yang ketakutan. Namun, satu video yang tersebar dalam talian yang memaparkan pelajar panik di dalam sebuah dewan sebenarnya tidak dirakam ketika bencana tersebut. Klip itu dirakam semasa gempa bumi yang melanda negara itu pada Oktober 2025 dan telah dikongsikan oleh media tempatan pada waktu itu.
"FILIPINA 8 JUN 2026 Gempa bumi 7.8 magnitud melanda Mindanao. Satu gempa bumi kuat telah melanda Mindanao pada 8 Jun 2026, menyebabkan panik di kalangan penduduk dan pihak berkuasa kesihatan di seluruh rantau ini," bunyi sebahagian kapsyen Facebook pada 8 Jun 2026.
Video itu menunjukkan pelajar di dalam sebuah dewan yang berpusu-pusu mencari perlindungan, dengan sebahagian daripada mereka mengangkat kerusi plastik di atas kepala, manakala yang lain menjerit dalam keadaan panik.
Video itu turut disiarkan dalam hantaran serupa di TikTok.
Ia mula tersebar selepas gempa bumi bermagnitud 7.8 melanda selatan Filipina pada 8 Jun dan mencetuskan amaran tsunami di seluruh rantau tersebut (pautan arkib). Gempa itu mengorbankan sekurang-kurangnya 41 orang, menyebabkan ribuan kehilangan tempat tinggal dan mencederakan lebih 450 orang (pautan arkib).
Rakaman yang dimuat naik di media sosial dan disahkan oleh AFP menunjukkan kesan gempa tersebut terhadap sekolah-sekolah tempatan, termasuk satu video yang memaparkan sebuah bangunan sekolah kosong runtuh sebahagiannya, dan satu lagi yang menunjukkan murid-murid sekolah rendah menangis ketika tanah bergegar kuat di bawah mereka (pautan arkib).
Namun, video yang tular itu sebenarnya dirakam sebelum gempa pada Jun 2026.
Carian imej terbalik di Google membawa kepada rakaman sama yang diterbitkan oleh ABS-CBN News di akaun Facebook rasmi mereka pada 10 Oktober 2025 (pautan arkib).
Kapsyennya berbunyi: "Satu rakaman oleh saksi menunjukkan pelajar di sebuah sekolah di Matina, Davao City mula panik apabila gempa bumi kuat menggegarkan dewan pada pagi Jumaat."
Beberapa media Filipina lain -- termasuk DZRH News Television dan 105.1 Brigada News FM Manila -- turut berkongsi rakaman tersebut dalam laporan mengenai gempa bermagnitud 7.4 yang melanda perairan selatan Filipina pada 10 Oktober 2025 (pautan arkib di sini dan di sini).
Menurut laporan rasmi agensi bencana kerajaan, gempa itu mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang dan menyebabkan ramai kehilangan tempat tinggal (pautan arkib).
Rakaman tersebut dikreditkan kepada pengguna Facebook bernama John Louie Bagot.
Walaupun akaun tersebut kini telah dikunci dan hantaran asal tidak lagi boleh diakses secara umum, wartawan semakan fakta AFP di Manila sebelum ini telah mengesahkan ketulenan video tersebut serta mengenal pasti lokasinya di Mapua Malayan Colleges di Davao City, selatan Filipina (pautan arkib).
Foto dari laman web rasmi sekolah itu menunjukkan dewan yang sama seperti dalam video yang disalah kongsi (pautan arkib).
Video lama sering muncul semula dalam hantaran media sosial yang mengelirukan selepas berlakunya bencana alam, dan AFP sebelum ini telah menyangkal beberapa hantaran yang menyalah tafsir rakaman lama berkaitan gempa bumi di Filipina.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami