Video 'lautan jemaah haji di Arafah' dijana AI
- Diterbitkan pada hari 04/06/2026 jam 09:52
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: AFP Malaysia
Selepas jemaah haji berhimpun untuk berwukuf di padang Arafah bagi musim haji 2026 dibawah cuaca panas terik di barat Arab Saudi, muncul video yang mendakwa menunjukkan lautan jemaah di kawasan bukit Jabal Rahmah itu sebenarnya dijana kecerdasan buatan (AI). Video itu tidak konsisten dengan rakaman diambil oleh organisasi berita termasuk AFP dan landskap sebenar padang Arafah. Ia juga dilabel sebagai sintetik oleh perisian pengesanan AI.
Video yang menunjukkan rakaman dron lautan manusia berpakaian kain ihram di sebuah kawasan tanah lapang dikongsi di Facebook pada 26 Mei 2026.
"Si indah² pemandangan dalam dunia, Lautan manusia sedang memenuhi padang arafah," bunyi sebahagian kapsyen siaran itu, yang merujuk kepada jutaan jemaah haji sedang berwukuf di Arafah pada hari kedua kemuncak ibadah itu.
Klip sama turut dikongsi di Facebook dan TikTok dan turut tersebar di Indonesia ketika kemuncak ibadah haji bagi musim 2026 dengan sejumlah besar umat Islam berwukuf dan beribadah di padang Arafah di barat Arab Saudi (pautan arkib).
Di Arafah, jemaah akan menunaikan solat Zuhur dan Asar selain melaksanakan rukun wukuf. Jemaah kemudiannya akan bergerak ke Muzdalifah untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak, sebelum bermalam di sana hingga subuh keesokan harinya dan seterusnya ke Mina bagi melaksanakan ibadah melontar jamrah bermula 10 hingga 13 Zulhijjah.
Tetapi video yang beredar dalam talian itu tidak menunjukkan jemaah haji di padang Arafah.
Rakaman itu tidak konsisten dengan imej dan video ibadah itu seperti yang diambil oleh AFP dan agensi berita lain.
Orang ramai kelihatan seragam dan tiada seorang pun daripada jemaah yang memegang payung, seperti yang ditunjukkan dalam kebanyakan gambar AFP.
Rakaman yang diambil oleh AFP dan agensi berita lain, seperti Associated Press dan Reuters, juga tidak menyerupai klip yang dikongsi secara salah itu (pautan arkib di sini, di sini dan di sini).
Selain itu, landskap dalam klip yang beredar itu tidak sepadan dengan bentuk muka bumi berbukit bukau di padang Arafah dan khemah sementara di sekeliling yang disediakan untuk para jemaah, termasuk bangunan pejabat kerajaan dan hospital yang boleh dilihat di peta Google Maps juga tidak ada (pautan arkib).
Analisis pada klip menggunakan alat pengesan SynthID oleh Google mendapati "semua atau sebahagian" daripada video itu dihasilkan menggunakan alat AI syarikat teknologi itu (pautan arkib).
AFP sebelum ini telah menafikan maklumat salah lain tentang ibadah haji.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami