KKM nafi Hospital Segamat bakal ditutup
- Diterbitkan pada hari 18/06/2026 jam 04:15
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: AFP Malaysia
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan siaran media sosial yang mendakwa Hospital Segamat bakal ditutup pada 1 Julai. KKM, Jabatan kesihatan negeri Johor dan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad memaklumkan bahawa perkhidmatan di hospital tersebut akan diteruskan seperti biasa.
"Hospital Segamat bakal ditutup 1 July ini kawan-kawan," bunyi sebahagian siaran Facebook pada 4 Jun 2026.
Hantaran itu turut mendakwa bahawa hospital tersebut tidak lagi akan menerima rujukan daripada mana-mana klinik kerajaan dan penutupan tersebut berpunca daripada kekurangan tenaga kerja.
Kerajaan berusaha menangani kekurangan tenaga kerja dalam sistem kesihatan awam, dengan data Bank Dunia menunjukkan negara ini mempunyai 2.3 doktor bagi setiap 1,000 pesakit (pautan arkib).
KKM juga berkata pada 2025 sektor kesihatan awam dianggarkan kekurangan 11,000 doktor pakar (pautan arkib).
Dakwaan serupa turut dikongsi di Instagram dan Threads.
Namun, tiada laporan rasmi yang menyatakan bahawa Hospital Segamat di Johor itu akan ditutup bermula 1 Julai.
Satu kenyataan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Hospital Segamat pada 4 Jun menyangkal dakwaan palsu tersebut (pautan arkib).
"Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengambil maklum isu yang sedang tular di media sosial berkenaan dakwaan Hospital Segamat bakal ditutup pada 1 Julai 2026 dan surat penangguhan rujukan kes-kes Obstetrik dan Ginekologi (O&G) dari daerah Rompin dan Gemas bertarikh 3 Jun 2026.
"JKNJ ingin menegaskan bahawa Hospital Segamat masih beroperasi seperti biasa dan tiada penutupan hospital sebagaimana yang didakwa," katanya dalam kenyataan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor sementara, Ling Tian Soon, yang melawat hospital tersebut pada 5 Jun, juga menegaskan bahawa Hospital Segamat tidak akan ditutup (pautan arkib).
Ling berkata hospital itu menghadapi kekurangan seramai 49 doktor dan perkara tersebut telah dibawa ke perhatian KKM.
"Berdasarkan keperluan semasa, hospital ini sepatutnya mempunyai 169 orang doktor. Ini bermakna Hospital Segamat kini berdepan kekurangan seramai 49 orang doktor, khususnya Pegawai Perubatan (MO), sekali gus memberi tekanan kepada sistem perkhidmatan sedia ada," katanya.
Menurut laporan Sinar Harian, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital tersebut akan terus dirawat seperti biasa, manakala pesakit luar akan dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran jika perlu (pautan arkib).
"Namun yang penting, tiada pemberhentian perkhidmatan dan tiada penutupan hospital. Perkhidmatan kesihatan tidak boleh dikompromi," katanya.
AFP sebelum ini juga telah menafikan beberapa maklumat palsu lain berkaitan sistem kesihatan di Malaysia.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami