Imej lama penyokong Korea Selatan kibar bendera Palestin dikaitkan dengan Piala Dunia 2026
- Diterbitkan pada hari 19/06/2026 jam 09:51
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Bill MCCARTHY, AFP Amerika Syarikat
- Terjemahan dan adaptasi AFP Malaysia
Imej yang kononnya menunjukkan peminat bola sepak Korea Selatan membentangkan bendera gergasi Palestin pada Piala Dunia 2026 tular ketika pasukan kebangsaan lelaki negara itu mencatat kemenangan 2-1 menentang Republik Czech dalam perlawanan pembukaan. Namun, rakaman tersebut sebenarnya diambil pada September 2024 ketika pasukan Korea Selatan seri dengan pasukan Palestin dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia di Seoul.
"RIBUAN PENYOKONG KOREA SELATAN BENTANG BENDERA PALESTIN GERGASI DI STADIUM PIALA DUNIA 2O26," bunyi sebahagian siaran Facebook pada 16 Jun 2026.
Siaran itu tersebar luas dalam pelbagai bahasa turut dikongsi oleh pempengaruh yang sebelum ini telah disemak fakta oleh AFP kerana menyebarkan maklumat palsu, termasuk Mario Nawfal dan Jackson Hinkle.
Siaran serupa juga disebarkan oleh akaun Facebook lain.
Piala Dunia -- yang bermula pada 11 Jun dan dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada -- menyaksikan sebahagian peminat sukan bola sepak menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin dan laporan menjelang kejohanan menunjukkan bahawa bendera tersebut dibenarkan masuk ke stadium, manakala FIFA melarang bendera Iran sebelum revolusi.
Namun, klip peminat Korea Selatan -- ketika pasukan negara itu menewaskan Republik Czech dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan pada 11 Jun di Guadalajara, Mexico -- bukan dirakam semasa Piala Dunia 2026 (pautan arkib).
Carian imej terbalik membawa kepada siaran serupa di X dan Reddit dikongsi pada 5 September 2024 (pautan arkib di sini dan di sini). Menurut kapsyen siaran itu, ia menunjukkan perlawanan kelayakan Piala Dunia pada hari itu antara Korea Selatan dan Palestin di Stadium Piala Dunia Seoul.
Nama stadium tersebut dapat dilihat di bawah skrin besar pada latar belakang klip itu.
Kedudukan seri kedua-dua pasukan itu mengundang sorakan tidak puas hati terhadap pengurus Korea Selatan, Hong Myung-bo.
Rakaman lain dalam talian menunjukkan sudut berbeza para penonton yang mengangkat bendera gergasi tersebut (pautan arkib). AFP turut merakam gambar yang menunjukkan peristiwa yang sama.
Korea Selatan bukan antara negara yang mengiktiraf kebebasan Palestin, namun pada April, Presiden Lee Jae Myung menyimpang daripada pendirian neutral tradisional negara itu dengan mengkritik tindakan Israel di Gaza.
AFP telah menyangkal maklumat salah lain berkaitan Piala Dunia di sini.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami