Ini video sambutan kemenangan bola sepak di Sepanyol, bukan protes di Albania

Rakyat Albania berdemonstrasi sejak akhir Mei 2026 untuk membantah projek pembangunan resort pantai mewah yang dikaitkan dengan anak perempuan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, iaitu Ivanka Trump, serta suaminya Jared Kushner. Namun imej yang kononnya memaparkan himpunan besar orang ramai di pesisir pantai sebenarnya tidak berkaitan dengan protes tersebut, sebaliknya menunjukkan sambutan oleh penyokong kelab bola sepak Sepanyol, Deportivo La Coruña.

"Terbaru, Albania pula cuba dimiliki oleh IsReal dengan Ivanka Trump sebagai muka hadapan. Hari ni, rakyat Albania turun untuk membantah Penjualan tanah oleh Ahli Politik negara mereka," bunyi sebahagian siaran Facebook pada 6 Jun 2026. 

Teks pelekat pada imej tersebut berbunyi: "Albania. Israel pergi, tanah kami bukan untuk dijual."

Image
Tangkapan skrin siaran palsu Facebook diambil pada 25 Jun 2026 dengan X merah ditambah oleh AFP

Hantaran serupa muncul dalam pelbagai bahasa, termasuk Arab, Sepanyol dan Perancis.

Imej tersebut mula tular ketika rakyat Albania membantah rancangan projek berkaitan Ivanka Trump dan suaminya, Jared Kushner, untuk membangunkan sebuah resort mewah di kawasan terlindung di pantai Adriatik negara itu (pautan arkib di sini, di sini dan di sini).

Penunjuk perasaan dan pertubuhan alam sekitar berkata rancangan itu berisiko menjejaskan alam sekitar serta lagun berhampiran yang penting bagi burung migrasi -- kesan yang berpotensi memperlahankan laluan Albania untuk menyertai Kesatuan Eropah (pautan arkib).

Pendakwa anti-rasuah Albania juga mengesahkan siasatan terhadap dana yang digunakan untuk membeli tanah di Zvernec.

Protes bermula pada akhir Mei di Zvernec, apabila puluhan orang membantah pemasangan kawat berduri yang menghalang akses ke pantai, sebelum tersebar ke ibu negara, Tirana (pautan arkib).

Namun, video yang tular dalam talian itu tidak menunjukkan protes di Albania.

Carian imej terbalik menemui versi rakaman yang lebih jelas, dimuat naik ke TikTok pada 31 Mei oleh seorang penyokong kelab bola sepak Sepanyol, Deportivo La Coruña, yang turut berkongsi beberapa video lain daripada perhimpunan yang sama (pautan arkib di sini, di sini, di sini dan di sini). 

Sebuah akaun Facebook yang membuat liputan berkenaan pasukan tersebut turut memuat naik klip itu pada hari yang sama (pautan arkib).

Orang ramai dalam video itu terdiri daripada penyokong di sekitar stadium kelab itu di La Coruña, sebuah bandar pesisir di wilayah Galicia di barat laut Sepanyol, selepas pasukan itu berjaya kembali ke La Liga, divisyen pertama sistem liga bola sepak Sepanyol (pautan arkib). 

Pasukan itu kembali ke liga selepas lapan musim, apabila menamatkan saingan di tempat kedua di belakang pendahulu liga, Racing Santander, yang kembali ke liga utama buat kali pertama dalam 14 tahun.

Video dan foto lain yang dikongsi di media sosial, termasuk di akaun Instagram rasmi pasukan itu, menunjukkan pemandangan pantai yang sama dari pelbagai sudut (pautan arkib di sini dan di sini).

AFP mengesahkan lokasi video tersebut di La Coruña dengan memadankan stadium dan mercu tanda lain dengan imej satelit Google Earth (pautan arkib).

Image
Screenshots from TikTok taken June 12, 2026, with elements outlined by AFP
Image
Screenshot from Google Earth taken June 12, 2026, with elements outlined by AFP

Foto AFP dari protes di Zvernec menunjukkan jumlah orang yang lebih kurang dan garis pantai yang berbeza tanpa bangunan atau jalan raya.

Image
Orang ramai berdemonstrasi membantah rancangan pembinaan sebuah resort mewah berhampiran kawasan semula jadi yang dilindungi di Zvernec, Albania pada 6 Jun 2026 (AFP / Adnan Beci)

AFP pernah menafikan maklumat salah lain yang menyasarkan Eropah di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami