Siaran kongsi grafik tambang ECRL hanya spekulasi, kata pengendali

Kadar tambang perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) masih belum diumumkan, bertentangan dengan siaran media sosial yang berkongsi satu grafik yang menyenaraikan harga tiket untuk beberapa perhentian untuk laluan itu. Pengendali perkhidmatan itu berkata harga yang beredar dalam talian itu adalah "spekulasi dan maklumat tidak disahkan" dan sebenarnya tidak menunjukkan tambang sebenar yang akan dikenakan apabila ia mula beroperasi pada Januari 2027. Grafik yang dikongsi bersama siaran itu juga mengandungi kesilapan ejaan dan menyenaraikan destinasi yang bukan sebahagian daripada rangkaian laluan itu.

Senarai yang kononnya menunjukkan harga tiket untuk perhidmatan ECRL itu telah dikongsi dalam bentuk grafik di Facebook pada 15 Jun 2026.

"Harga ticket ECRL dari stesen Gombak," bunyi teks berbahasa Inggeris itu pada grafik tersebut. 

Kapsyen pada siaran itu berbunyi: "Pakat ready belako adik kakok mari kala lupo naik ECRL 1 Januari 2027."

Image
Tangkapan skrin siaran palsu yang diambil pada 19 Jun 2026, dengan simbol X dan logo AI merah ditambah AFP

Siaran serupa berkongsi grafik yang sama diedarkan di tempat lain di Facebook, Instagram dan TikTok.

"Wah dah kuar harganya," tulis seorang pengguna Facebook, sementara seorang lagi pengguna berkata: "Sebab station Gombak tu 5 minit jer dari rumah kita. Bolehlah plan aktiviti. Saper nak ikut?"

Perkhidmatan ECRL sepanjang 665 kilometer (413 batu) itu bakal menghubungkan negeri-negeri pantai timur ke hab ekonomi Lembah Klang (pautan arkib).

Menurut pengendali laluan itu Malaysia Rail Link (MRL), projek mega itu telah siap 94 peratus setakat Mei dan dijadualkan memasuki fasa ujian dan pentauliahan sebelum ia mula beroperasi pada Januari 2027 (pautan arkib).

Namun setakat 22 Jun, harga tiket belum dikeluarkan secara rasmi.

Carian kata kunci di Google membawa kepada satu kenyataan yang menolak dakwaan itu, disiarkan pada halaman Facebook rasmi MRL pada 16 Jun (pautan arkib).

MRL menyifatkan harga yang disenaraikan di media sosial itu sebagai "spekulasi dan maklumat tidak disahkan".

"Sebarang kadar tambang yang sedang tular di media sosial hanyalah spekulasi dan tidak mewakili kadar sebenar yang akan dikenakan apabila perkhidmatan ECRL mula beroperasi pada Januari 2027," katanya, sambil menambah kadar tambang rasmi akan diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan selepas proses penilaian dan kelulusan dimuktamadkan.

Image
Tangkapan skrin kenyataan MRL di Facebook

Hasil penelitian pada grafik yang dikongsi bersama siaran salah itu menunjukkan kesalahan ejaan pada beberapa stesen dalam senarai itu manakala terdapat juga stesen-stesen yang tidak dinyatakan dalam senarai rasmi peta laluan itu (pautan arkib).

Image
Perbandingan tangkapan skrin bagi grafik salah (L) dan laluan rasmi ECRL, dengan stesen yang dieja salah eja dan perhentian yang tidak dinyatakan dalam laluan rasmi, ditanda dengan kotak merah dan hijau oleh AFP

Analisis imej menggunakan SynthID Detector oleh Google menyatakan dengan tahap keyakinan "sangat tinggi" bahawa imej itu dibuat menggunakan alat AI syarikat itu (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin hasil semakan SynthID Detector

AFP sebelum ini menafikan dakwaan salah serupa yang bergantung pada grafik-grafik yang disunting atau direka.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami