Klip pergelutan di acara komuniti disalah kaitkan dengan pelarian Rohingya

  • Diterbitkan pada hari 29/06/2026 jam 09:40
  • Durasi bacaan 2 minit
  • Oleh: AFP Malaysia

Ketika petisyen dalam talian untuk menyingkirkan pelarian Rohingya dari Malaysia meraih ratusan ribu tandatangan atas alasan "keselamatan", satu video tular secara palsu mendakwa mereka menyerang pengawal di kedutaan Myanmar. Sebenarnya, video itu menunjukkan pergelutan antara pelarian Chin dan kakitangan RELA di luar sebuah sekolah semasa Jawatankuasa Pelarian Chin menganjurkan acara ulang tahun. 

"Tengok Ini, Rakyat Malaysia Ke Yang Rasis? Sekarang Ini Warga Asing Myanmar Buat Onar Dan Nak Serang Pukul Anggota Rela Itu, Di Negara Kami Malaysia," bunyi siaran Facebook pada 10 Jun 2026. 

Video itu menunjukkan sekumpulan orang di luar pagar berkunci, menjerit ketika dua individu cuba memanjatnya, sementara anggota keselamatan di dalam meminta mereka turun.

Kapsyen Facebook itu mendakwa insiden tersebut berlaku di Kedutaan Myanmar, manakala teks pada video menyatakan "Warga Rohingya pukul anggota RELA".

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 22 Jun 2026 dengan X merah ditambah oleh AFP

Klip itu turut tersebar dalam siaran serupa di Facebook, Threads dan Instagram.

Ia muncul ketika satu petisyen dalam talian menyeru kerajaan Malaysia supaya menempatkan semula pelarian Rohingya ke negara lain memperoleh hampir setengah juta tandatangan sebelum ia dipadam.

South China Morning Post melaporkan bahawa petisyen itu mendakwa kehadiran pelarian Rohingya telah memberi "tekanan yang semakin meningkat terhadap sumber, infrastruktur dan perkhidmatan sosial" (pautan arkib). Ia juga mendakwa kehadiran mereka menimbulkan "kebimbangan keselamatan" dan mencetuskan ketakutan dalam komuniti tempatan.

Terdapat kira-kira 126,000 pelarian Rohingya dari Myanmar di Malaysia, menurut anggaran Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) setakat akhir Februari.

Beberapa NGO telah memberi amaran mengenai peningkatan ucapan kebencian dan ugutan yang menyasarkan komuniti Rohingya, dengan aktivis menyatakan bahawa pertikaian yang melibatkan Rohingya sering mencetuskan permusuhan yang lebih meluas (pautan arkib di sini and di sini)..

Namun video yang tular tidak menunjukkan pelarian Rohingya menyerang anggota RELA di Kedutaan Myanmar.

Majlis ulang tahun pelarian Chin 

Carian imej terbalik di Google membawa kepada satu klip Facebook yang kini telah dipadam, yang dimuat naik oleh seorang pengguna yang juga pernah berkongsi video lain daripada sesi pertemuan dengan seorang peninju UFC yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pelarian Chin (CRC).

Kumpulan itu berusaha menyediakan perkhidmatan sosial dan mempromosikan perlindungan pelarian Chin di Malaysia.

Carian seterusnya di halaman Facebook CRC menemui siaran langsung sambutan ulang tahun ke-25 yang dikongsi pada 27 Mei (pautan arkib). Menurut siaran tersebut, acara itu berlangsung di SJK(C) Chung Kwo, sebuah sekolah Cina di Kuala Lumpur yang menyewakan dewannya untuk majlis (pautan arkib).

Bahagian luar sekolah tersebut dapat dilihat dalam video yang disebarkan secara palsu, dan rakaman itu sepadan dengan imej Google Street View lokasi berkenaan (pautan arkib).

Image
Perbezaan tangkapan skrin siaran palsu (kiri) dan imej dari Google Street View

Pengerusi CRC, Paul Ngun Luai Thang, memberitahu AFP bahawa satu pergelutan telah berlaku antara peserta majlis ulang tahun dan kakitangan keselamatan semasa acara tersebut.

"Semasa acara itu, ahli kami cuba memanjat pagar untuk masuk ke dalam dewan, tetapi ia sudah penuh," katanya pada 19 Jun.

AFP sebelum ini juga telah menafikan dakwaan palsu lain yang menyasarkan pelarian Rohingya.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami