Foto ini menunjukkan Presiden Turki Erdogan usung keranda saudara maranya
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Rabu 02/12/2020 pukul 12:45
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: AFP Timur Tengah & Afrika Utara, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Gambar itu telah diterbitkan pada 15 November 2020 di sini di Facebook, di mana ia telah dikongsikan hampir 400 kali.
Kapsyennya menyatakan: “Mashaa’ALLAH PM Contoh & Terbaik ?
Pemimpin Yang BerJiwa Rakyat Presiden Recip Tayyip Erdogan
“PM Erdogan Yang Turut Mengusung Keranda Jenazah Muazdin Masjid Istanbul .Di Sebelahnya , Berbaju Kuning Ialah Pekerja Pembersih Di Masjid Yang Sama . ALLAH HUAKBAR
“Semoga ALLAH Merahmati Beliau PM Erdogan
Ya ALLAH Kurniakanlah Kami Pemimpin Seperti Beliau ?”
Gambar yang sama telah dikongsikan hampir 500 kali setelah muncul dengan dakwaan yang serupa di Facebook di sini, sini dan sini.
Catatan Facebook berbahasa Arab ini dari tahun 2018 adalah contoh yang paling awal dakwaan yang serupa yang dijumpai oleh AFP.
Dakwaan itu tak benar.
Carian kata kunci di Google mendapati imej itu telah diterbitkan di sini di laman sesawang Jawatan Presiden Republik Turki bersama dengan gambar-gambar lain.
Keterangannya menyatakan bahawa gambar-gambar tersebut menunjukkan presiden Turki mengambil bahagian dalam pengebumian ibu kepada saudara iparnya, Zumriye Ilgen, pada September 2016.
Tajuk berita artikel itu, diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, menyatakan: “Presiden Erdogan Menghadiri Upacara Pengebumian Zumriye Ilgen.”
Perenggan-perenggan berikutnya menyatakan: “Presiden Recep Tayyip Erdogan menghadiri solat jenazah ibu kepada saudara iparnya Zumriye Ilgen di daerah Erdek, Balikesir.
“Presiden Erdogan, yang pergi dari Istanbul ke Erdek dengan helikopter untuk menghadiri pengebumian itu, disambut di daerah itu oleh Gabenor Balikesir Ersin Yazici dan pegawai lain.
“Mengunjungi rumah keluarga İlgen untuk mengucapkan takziah, Presiden Erdogan terus ke Masjid Erdek Haci Omer untuk menunaikan solat Jumaat dan menghadiri pengebumian itu.”
Tiada sebutan mengenai identiti lelaki berbaju kuning itu. Album foto tersebut mengandungi pelbagai gambar lain dari perarakan jenazah.
Di bawah adalah tangkapan skrin pengumuman tersebut di laman sesawang Jawatan Presiden Republik Turki:
Laporan ini dari Agensi Anadolu, agensi berita yang dikendalikan oleh negara Turki, menyatakan bahawa Zumriye Ilgen, yang berusia 89 tahun, adalah ibu Ziya Ilgen. Ziya Ilgen ialah suami adik perempuan Presiden Erdogan, Vesile Ilgen.
Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin gambar dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan gambar asal di laman sesawang Jawatan Presiden Republik Turki (kanan):
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami